Bola Sepak

Fortes semakin serasi di Selangor

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Dua bintang baharu Selangor FC, Alvin Fortes dan Nooa Laine akui semakin selesa bersama pasukan itu selepas seminggu menjalani latihan menjelang musim baharu saingan Liga Malaysia (Liga M) Mei ini.

Fortes, 29, yang diumumkan sebagai import baharu Red Giants menegaskan dirinya semakin serasi bersama rakan sepasukan lain dan akui sudah tidak sabar untuk membantu skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

"Rakan sepasukan yang lain menyambut kehadiran pemain baharu dengan baik. Ini sedikit sebanyak telah membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan lebih cepat.

"Saya juga akan sedaya upaya mendapatkan persefahaman bersama para pemain serta barisan jurulatih untuk sama-sama membantu kelab mencapai sasaran musim ini," katanya yang berasal dari Belanda.

Nada sama dikongsikan Laine yang juga pemain berstatus warisan negara itu.

Ujarnya, keharmonian pasukan cukup dirasai dengan masing-masing komited memberi sepenuh tenaga dalam latihan.

"Minggu pertama berlatihan bersama mereka berlalu dengan sangat baik. Mereka (pemain) membuat saya rasa dialu-alukan untuk berada di sini.

"Disebabkan itu, saya tidak mengambil masa yang lama untuk selesa bersama pasukan. Saya tidak sabar untuk lalui minggu-minggu seterusnya," kata pemain skuad Harimau Malaya itu.

Selain dua pemain itu, Selangor FC turut mengumumkan kehadiran tiga lagi muka baharu iaitu Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez dan Azim Al Amin.

Disiarkan pada: February 19, 2024 @ 1:54pm
d