Bola Sepak

Sri Pahang destinasi pilihan Sean, Asnan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Dua pemain berpengalaman, Sean Selvaraj dan Asnan Ahmad menjadi pilihan Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Sri Pahang FC, dua pemain itu, masing-masing bekas pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Penang FC itu menandatangani kontrak satu tahun bersama skuad Tok Gajah.

"Selamat datang Sean ke Darul Makmur. Pemain sayap lincah berusia 27 tahun yang merupakan bekas anggota skuad B-23 kebangsaan ini telah menandatangani kontrak satu tahun bersama Sri Pahang.

"Mengumumkan pemain tengah berusia 30 tahun, Asnan Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Asnan telah menandatangani kontrak satu tahun bersama Sri Pahang. Selamat datang Asnan, all the best," menerusi hantaran itu.

Pengumuman itu juga menamatkan spekulasi beberapa pemain berpengalaman yang akan menyertai skuad kendalian Fandi Ahmad itu terutama mengukuhkan jentera tengah dan pertahanan.

Terdahulu, bekas pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Adam Nor Azlin mengesahkan Sri Pahang menjadi destinasi pilihan bagi saingan Liga M musim 2024/2025.

Dengan pengumuman itu, Adam, Sean dan Asnan antara pemain baharu yang diumumkan Kelab Bolasepak Sri pahang (SPFC) setakat ini.

Difahamkan, ada beberapa pemain baharu bakal diumumkan termasuk import selepas Sri Pahang 11 pemain musim lalu tidak lagi bersama pada musim baharu ini.

Disiarkan pada: February 22, 2024 @ 2:56pm
d