Bola Sepak

Penyokong lega isu tunggakan gaji KDA FC bakal selesai

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kelab penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) bersyukur di atas langkah penyelesaian berkaitan isu tunggakan gaji musim 2023 yang membelenggu pasukan akhirnya bakal menemui noktahnya.

Penyokong Sang Kenari yang selama ini resah menantikan usaha yang dibuat pengurusan kelab bagi memastikan Sang Kenari menyelesaikan masalah tunggakan gaji akhirnya menerima maklumat positif berkaitan pembayaran gaji seperti yang dihebahkan secara rasmi oleh media KDA FC semalam.

Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) Nor Hasmadi Hamzah berkata, pihaknya bersyukur pengurusan KDA FC mengambil usaha terbaik bagi memastikan hala tuju pasukan terjamin kekal di Liga Super musim ini selepas ada risiko boleh tersingkir dari Liga Super jika tiada penyelesaian berkaitan isu tunggakan gaji.

"Meskipun Kedah Darul Aman FC (KDA FC) perlu mengemukan dokumen tambahan seperti yang disyaratkan pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL), namun kami yakin KDA FC bersiap sedia untuk memenuhi syarat yang diperlukan itu.

"Untuk penyokong, kami rasa sedikit lega dan menghargai langkah terbaik yang diambil Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan pengurusan pasukan bagi memastikan imej bolasepak Kedah sebagai salah satu gergasi bola sepak tidak tercalar pada tahun ini.

"Bayangkan kalau Kedah tidak lagi beraksi dalam Liga Super, masa depan ramai pemain muda yang sedang mengasah bakat juga akan terkesan dan ini memberi implikasi buruk terhadap imej bola sepak negeri dari sudut pembangunan," katanya.

Nor Hasmadi juga berkata pihak penyokong turut menyambut baik langkah pihak pengurusan yang mahu membuka lebih banyak idea baru bagi mengatasi isu kewangan semasa kelab.

Semalam KDA FC dalam satu kenyataan berkata, Mohd Daud sudah mendapat kelulusan pembiayaan dana dari institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan gaji.

Disiarkan pada: March 1, 2024 @ 2:53pm
d