Bola Sepak

Oman lebih bersedia berbanding Harimau Malaya

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tugas berat bakal dipikul pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon terutama dalam memastikan anak buahnya bersiap sedia pada 'gear empat atau lima' menjelang dua aksi getir berdepan Oman dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat dan Bukit Jalil, yang berbaki dua minggu lagi.

Berdasarkan semakan, rata-rata pemain Oman ketika ini berada pada 'gear lima' di mana saingan Liga Profesional Oman sedang berlangsung hangat dan hanya berhenti 'rehat' pada Jumaat ini bagi memberi laluan kepada persiapan skuad kebangsaan negara itu untuk menentang Malaysia sebelum disambung semula 31 Mac ini.

Situasi itu tampak berbeza buat pemain negara yang tidak beraksi dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak kempen Piala Asia di Qatar berakhir pada 25 Januari lalu, dengan sepanjang Februari pemain bercuti tanpa sebarang aktiviti bola sepak.

Senario itu pastinya menghadirkan risiko buat kem negara apabila berhadapan pasukan di ranking ke-80 dunia itu nanti.

Menurut pandangan jurulatih sedang meningkat naik, Sulaiman Hussin, secara teknikal pemain Oman ketika ini berada pada tahap fizikal dan mental cukup baik berbanding pemain negara yang hanya mungkin sempat membina kecergasan untuk menghadapi perlawanan terbabit.

"Kita jangan terleka dengan keputusan seri dengan Korea Selatan, aksi kelayakan ini 'difference ball'. Bagi pandangan saya, di Piala Asia tempoh hari pemain kita dah capai 'peak' dan bila dah lama tak berlatih jadi banyak kerja perlu dilakukan.

"Kalau dari segi teknikal saya fikir kita mungkin sempat untuk bina kecergasan dan fizikal pemain, tapi dari segi kesediaan mental dan fokus ia perlukan lebih daripada itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ditanya berapakah perlawanan ujian diperlukan untuk menghadapi Oman, bekas penolong jurulatih Kuching City FC itu menganggap sekurang-kurangnya satu aksi berdepan pasukan setaraf Oman diperlukan untuk membina keyakinan.

"Kita perlu satu perlawanan dengan satu pasukan dari negara Arab untuk kita menilai kelemahan yang boleh diperbaiki. Kalau kita lawan dengan pasukan serantau di Asia Tenggara, kita hanya akan dapat pulihkan kecergasan pemain saja tapi tidak aspek lain.

"Jadi saya lihat perlawanan dengan pasukan yang setaraf Oman harus diadakan kerana dari situ akan banyak kelemahan dapat dilihat dan boleh diatasi segera," katanya.

Skuad Harimau Malaya ketika ini memimpin carta Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2027 selepas mengutip enam mata maksimum daripada dua aksi dilalui, justeru kemenangan ke atas Oman sama ada pada 22 Mac (di Muscat) mahupun 26 Mac (di Bukit Jalil) bakal mencerahkan laluan ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia selain layak automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 2:07pm
d