Bola Sepak

Che Rashid nafi sertai pasukan di Lembah Klang

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Bekas pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), Che Rashid Che Halim menafikan akan menyertai pasukan Liga Super berpangkalan di Lembah Klang bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pemain pertahanan berpengalaman itu menegaskan, setakat ini tiada perbincangan diadakan antaranya dengan pengurusan pasukan berkenaan.

Menurutnya, dakwaan itu tidak benar dan hanya sekadar cakap-cakap dalam kalangan peminat terutama penyokong skuad Hobin Jang Hobin.

"Dakwaan itu tidak benar, tiada perbincangan antara saya dengan pihak pengurusan kelab yang dimaksudkan.

"Sehingga kini, saya belum menyertai atau menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan dalam Liga M.

"Sebenarnya, perbincangan dengan pihak pengurusan Negeri Sembilan FC masih berjalan dan dijangka akan mencapai kata putus dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baru-baru ini, timbul desas desus mengatakan Che Rashid bakal meninggalkan NSFC, namun sehingga ke hari ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan NSFC berhubung kedudukan pemain berasal dari Johor itu.

Che Rashid menegaskan dia tidak bercadang untuk berhijrah ke pasukan lain, sebaliknya ingin kekal bersama NSFC sesuai dengan kontrak ditandatanganinya musim lalu iaitu selama dua tahun dengan satu tahun pilihan.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 6:35pm
d