Bola Sepak

Asnan janji aksi terbaik buat Sri Pahang

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemain baharu Sri Pahang FC, Asnan Ahmad menjanjikan aksi terbaik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata, pengalaman beraksi bersama beberapa pasukan akan dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam usaha membantu skuad Tok Gajah.

"Selepas dua minggu berlatih bersama rakan sepasukan, saya sentiasa memberikan yang terbaik buat pasukan terutama meyakinkan kehadiran saya ke Sri Pahang.

"Saya akan memberikan segala-galanya bersama Sri Pahang dengan kerjasama rakan sepasukan terutama dalam membentuk persefahaman.

"Sudah pasti misi utama adalah membantu Sri Pahang beroleh kejayaan dengan gabungan pemain lama dan baharu yang berpengalaman," katanya.

Asnan memulakan kerjaya bersama UKM FC dari 2013-2020, diikuti Terengganu (2021) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC (2021-2022) dan Penang FC (2023).

Bagi musim 2024/2025, pemain kelahiran Kedah itu menandatangani kontrak semusim bersama skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 6:55pm
d