Bola Sepak

'Usah bergaduh, aspek keselamatan jadi keutamaan'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Semua pasukan yang bersaing dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia 2024 diingatkan agar tidak terbabit atau mencetuskan pergaduhan sebelum, ketika atau selepas perlawanan.

Ingatan itu disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid kepada semua pasukan ketika sesi taklimat pasukan, hari ini.

Beliau berkata, aspek keselamatan akan dititikberatkan berikutan ada perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia berlangsung di padang terbuka selain di stadium.

"Taklimat hari ini banyak menyentuh berkaitan segala peraturan perlu dipatuhi dan undang-undang pertandingan.

"Saya sentuh mengenai keselamatan sebab perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia dianjurkan di padang terbuka dan ada juga di stadium.

"Apabila padang terbuka, macam tahun lalu ada insiden tidak diingini berlaku, contoh macam pergaduhan dan memukul pengadil. Jadi kita harap tahun ini kita tak nak perkara itu berlaku.

"Saya sebagai Jawatankuasa Keselamatan akan ambil tindakan tegas terhadap insiden terbabit dan kita memang akan menitikberatkan soal keselamatan," katanya.

Hadir sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Untuk rekod, saingan Piala Presiden membabitkan pemain Bawah 20 Tahun (B-20) dibahagikan kepada dua kumpulan dan akan bersaing secara liga dua pusingan yang bermula 21 April ini.

Format sama diguna pakai untuk Piala Belia yang bakal memulakan saingan 27 April depan, dengan empat pasukan terbaik mara ke suku akhir.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 7:29pm
d