Bola Sepak

Pengalaman Haziq Nadzli ditagih Perak FC

Oleh BERNAMA

Ipoh: Pengalaman dimiliki penjaga gol baharu Perak FC, Haziq Nadzli bersama pasukan lamanya, Johor Darul Ta'zim (JDT) diharap dapat memberi impak besar buat skuad 'The Bos Gaurus' bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, penyertaan Haziq bakal mencetus persaingan sengit dengan dua lagi penjaga gawang baharu Perak, Mohamad Ramadan Abd Hamid (PDRM FC) dan Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil (Negeri Sembilan FC) yang turut berkelana ke utara tanah air.

"Kami memang perlukan pemain berpengalaman seperti Haziq untuk beri impak besar kepada pasukan dan pada masa sama, melonjak keupayaan pemain khususnya Muhammad Firdaus Irman dan Mohamad Ramadan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Haziq yang pernah merangkul banyak gelaran bersama JDT sejak 2017 dan dikhabarkan menyertai Perak secara pinjaman dari JDT bagi tempoh semusim, antara sembilan pemain baharu skuad kendalian Yusri Che Lah setakat ini.

Selain Muhammad Firdaus dan Mohamad Ramadan, Perak turut 'memborong' enam lagi pemain termasuk tiga pemain import iaitu bintang muda dari Korea Selatan, Lee Tae Min; pertahanan dari Brazil, Luis Henrique Motta dan Adilet Kanybekov dari Kyrgyzstan.

Juara lapan kali Piala Malaysia itu turut berjaya 'memancing' tiga lagi pemain tempatan iaitu Ariff Ar-Rasyid Ariffin dari Kelantan United FC (KUFC), Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC) dan Tommy Mawat Bada (Negeri Sembilan FC).

Menerusi kemasukan sembilan pemain itu, Bobie Farid berkata, Perak terus bertekad menyajikan aksi terbaik kepada penyokong pasukan itu bagi musim baharu Liga-M, dijadual bermula Mei ini.

"Sejak tamat musim lalu, kami terus bekerja mencari pemain yang boleh dibawa masuk kerana kami sedar penyokong Perak FC sangat besar dan musim ini kami mahu beri sesuatu kepada mereka.

"Apabila kami umumkan pemain, mereka mengetahui kami sudah ada pemain import sayap Lee Tae Min, pertahanan kami ada Luiz Henrique Motta, tengah kami ada Adilet Kanybekov dan lain-lain pemain yang kejurulatihan pasukan merasakan mereka layak untuk diserap masuk mewakili Perak FC," katanya.

Musim lalu, Perak, yang menampilkan aksi hambar pada kempen Liga Super sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-11 selain tersingkir awal di Piala FA, namun mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia sebelum mengalami kekalahan besar 2-12 secara agregat kepada JDT.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 8:46pm
d