Bola Sepak

Tekanan himpit Bayern atasi defisit Lazio

Oleh Reuters

Munich: Bayern Munich perlu merasai tekanan jika mahu mempamerkan aksi terbaik dan mengubah defisit 0-1 apabila melayan Lazio pada perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi Rabu ini, kata jurulatihnya, Thomas Tuchel.

Bayern ketika ini jauh daripada prestasi terbaik apabila hanya menang sekali daripada lima aksi terakhir dalam semua kejohanan dan Tuchel akan meninggalkan pasukan itu pada hujung musim ini, iaitu setahun lebih awal berbanding kontraknya.

Mereka hanya seri 2-2 di Freiburg, Jumaat lalu dan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Bundesliga, Bayer Leverkusen.

"Saya fikir, situasi buat kami ketika ini sangat jelas, tetapi untuk menampilkan aksi terbaik memang memerlukan tekanan," kata Tuchel pada sidang media.

"Keputusan terbaru kami termasuk kekalahan aksi pertama di Itali bermakna perlawanan esok bukan mudah. Tekanan memang perlu, sudah pasti amat berat esok.

"Kami perlu menang dua gol ke atas kelab Itali, anak buah Maurizio Sarri. Cabarannya memang tinggi," kata Tuchel.

Kelab Bavaria itu yang menang 11 gelaran domestik terakhir dan merangkul trofi UCL kali terakhir pada 2020, berdepan risiko menamatkan saingan musim ini tanpa trofi.

Jika tersingkir di UCL awal pagi Rabu, kemungkinan besar Tuchel terpaksa berpisah lebih awal dengan Bayern.

"Bukan daripada pihak saya," katanya apabila ditanya sekiranya Bayern akan memecatnya lebih awal sekiranya tersingkir.

"Saya tahu apa yang kami persetujui dan berkomunikasi, tetapi anda harus tahu tiada siapa memiliki cita-cita besar melebihi saya untuk menang perlawanan esok," kata Tuchel.

"Setiap minit pada perlawanan esok sangat penting. Ya, sabar dan tidak mudah kecewa jika terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan gol. Jika menguasai bola, tidak boleh bersabar kerana kami tidak boleh membazir masa.

"Kelebihan masa memihak kepada Lazio, jadi kami perlu bermain dengan tenang, tetapi penuh emosi serta bermain untuk mendapatkan gol."

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 9:55pm
d