Bola Sepak

Nizaruddin tekad julang Melaka FC

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Bekas kapten Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Nizaruddin Jazi bertekad membantu pasukan barunya, Melaka FC menjulang Liga M3, sekali gus layak beraksi di pentas Liga Super musim depan.

Katanya, sebagai pemain dan anak jati Melaka, sudah pasti dia mahu meletakkan skuad terbabit di kedudukan terbaik kerana pastinya peminat dahagakan kejayaan besar di pentas bola sepak negara seperti pernah diraih sebelum ini.

Menurutnya, pengalaman tiga musim bersama JDT (2021-2023) akan digunakan sebaik mungkin untuk memperkasa skuad Melaka FC di bawah bimbingan ketua jurulatih, K Devan.

Baginya, strategi dan percaturan terbaik pengendali itu dilihat sebagai aset terpenting buatnya serta rakan sepasukan bergabung tenaga melakar kejayaan diidamkan.

"Saya menyasarkan Melaka FC layak ke Liga Super dan tidak mustahil ia mampu direalisasikan kerana ramai pemain berkaliber bersama pasukan ini.

"Apa yang penting komitmen tinggi sepanjang sesi latihan, perlawanan persahabatan dan aksi sebenar memberi impak kepada perjuangan dan persembahan pasukan," kata pemain tengah terbabit yang kali akhir mewakili Melaka pada 2018 bersama skuad Liga Belia.

Disiarkan pada: March 5, 2024 @ 7:27pm
d