Bola Sepak

TFC pinjamkan Zuasyraf kepada Kelantan United

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Muhammad Zuasyraf Zulkiefle menjadi pemain terbaharu dipinjam kepada Kelantan United FC (KUFC) bagi musim 2024/2025.

Sebelum ini, pengurusan TFC memaklumkan dua pemain iaitu Faiz Nasir dan Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar dipinjamkan kepada pasukan Kuching City FC (KUFC) selama semusim.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pemain kelahiran Kuala Terengganu itu sudah menjalani latihan bersama pasukan baharunya itu.

"Pemain tengah meningkat naik, Zuasyraf diberi pinjam kepada Kelantan United selama semusim sehingga berakhir Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan sudah menjalani latihan bersama pasukan baharunya itu sejak 1 Mac lalu.

"Kita mengucapkan selamat maju jaya kepadanya dengan harapan agar dapat meningkatkan lagi prestasi selain berusaha menjadi pemain utama pasukan baharunya itu bagi mendapatkan minit permainan," katanya.

Musim lalu, Zuasyraf kerap memanaskan bangku simpanan berikutan jentera tengah TFC mempunyai ramai pemain berpengalaman termasuk tiga tonggak import.

Musim ini, TFC hanya mengekalkan seorang tonggak import di jentera tengah iaitu Nurillo Tukhtasinov selain menyambar pemain berpengalaman Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Akram Mahinan.

Disiarkan pada: March 7, 2024 @ 7:20pm
d