Bola Sepak

Piala Sumbangsih cipta sejarah guna VAR

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Sejarah mungkin bakal tercipta pada aksi Piala Sumbangsih membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Selangor apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan buat kali pertama akan menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk musim 2024/2025.

Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya berusaha keras untuk memastikan semua perlawanan musim ini menggunakan teknologi VAR.

Katanya, walaupun pelbagai rintangan dan cabaran bakal ditempuhi untuk menjayakannya namun MFL optimis kemudahan merangkumi logistik dan peralatan teknologi yang ada mampu merealisasikan matlamat itu kelak.

"Kita sedang cuba sedaya upaya dari perlawanan pertama sehingga perlawanan terakhir, semua perlawanan ada VAR. Ia membabitkan perlawanan peringkat tertinggi seperti Liga Super, Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Memang ada untuk kita buat VAR tetapi tak senang termasuk dalam isu logistik tempatan, naik kapal terbang apabila ada perlawanan dekat Sabah dan Kuching (Sarawak).

"Pada masa sama, kita ada empat set VAR, tetapi kita ada setiap minggu tujuh perlawanan. Apabila buat jadual, penjadualan kita juga perlu ikut ke mana VAR ini akan bergerak seperti dari Kelantan ke Pahang, Terengganu ke Pulau Pinang," katanya.

Sebelum ini, Stuart menjelaskan bahawa penggunaan teknologi itu yang dijangka dilaksanakan sepenuhnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal menelan kos RM9.7 juta.

Beliau berkata, MFL akan mengguna pakai kaedah trak bergerak untuk memastikan VAR dapat beroperasi di setiap venue perlawanan Liga.

Katanya, penggunaan kenderaan bergerak itu lebih efisien sekali gus dikenal pasti dapat menyelesaikan beberapa isu seperti masalah jaringan internet dan kemudahan bilik teknologi terbabit.

Disiarkan pada: March 8, 2024 @ 5:25pm
d