Bola Sepak

Klopp ikrar berjuang kecewakan Arsenal, Man City

Oleh Reuters

London: Liverpool perlu berjuang pada setiap perlawanan dalam usaha mereka untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang membabitkan tiga pasukan utama, kata pengurus Jurgen Klopp.

Ia selepas skuad bimbingannya jatuh di tangga kedua liga selepas seri 1-1 dengan Manchester City.

Keputusan di Anfield menyaksikan Liverpool kini di tempat kedua menerusi perbezaan gol dan Arsenal di kedudukan teratas.

City berada di tempat ketiga dengan 63 mata, kurang satu mata di belakang dua pasukan teratas itu ketika berbaki 10 perlawanan.

Pengendali dari Jerman itu optimis pasukannya akan menyukarkan Arsenal dan City apabila melayan kunjungan Brighton & Hove Albion pada saingan liga 31 Mac ini.

Ia adalah hari yang sama City menerima kunjungan Arsenal, yang mungkin akan mengubah kedudukan liga.

"Dalam situasi kami, kami tidak boleh lari daripada pasukan lain," kata Klopp di laman web kelab itu.

"Arsenal berada pada prestasi terbaik. Lima atau enam perlawanan terakhir saya lihat mereka sangat luar biasa.

"Mereka bermain dengan barisan pemain yang hampir sama. Tiada (Gabriel) Martinelli tetapi kemudian mereka diperkuatkan oleh (Leandro) Trossard.

"Kami hanya perlu berjuang pada baki 10 perlawanan untuk berada di sana," katanya lagi.

Liverpool, yang memenangi Piala Liga bulan lalu, masih berjuang untuk semua trofi pada musim terakhir pengurus itu di kelab berkenaan.

Mereka akan melayan kunjungan Sparta Prague dalam aksi timbal balik pusingan 16 terakhir Liga Europa sebelum bertandang ke Manchester United untuk suku akhir Piala FA.

Disiarkan pada: March 12, 2024 @ 9:17pm
d