Bola Sepak

Akibat gaji tertunggak, pemain berbuka di masjid

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: "Gaji kami sangkut tiga bulan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kami 11 bulan tidak masuk ke akaun kami biarpun dikatakan sudah dipotong. Malah, sekarang bulan puasa ini, saya terpaksa berbuka di masjid sahaja."

Itu yang dilalui sebahagian bekas pemain Bawah 23 Tahun (B-23) Kuala Lumpur City (KL City) yang beraksi di Piala Bolasepak Malaysia (MFL) musim lalu apabila harus melalui detik yang menyukarkan bagi seorang pemain yang sedang meningkat naik mencipta nama dalam arena bola sepak di Malaysia.

Mereka boleh disamakan seperti buruh paksa atau bermain sambil beramal selepas tidak menerima gaji dan paling menyedihkan, KWSP yang sepatutnya menjadi taruhan ketika hari tua nanti juga seakan-seakan di 'scam' oleh pihak pengurusan.

"Gaji kami ada tiga bulan lagi belum diterima dan KWSP tak pernah masuk selama 11 bulan atau sepanjang musim lalu. Kali terakhir masuk bulan 1 (2023) yang bulan 12 tahun 2022 punya.

"Sepanjang gaji tidak diterima, saya terpaksa guna duit simpanan saya sedikit demi sedikit dan terpaksa berjimat cermat dalam berbelanja. Tahun 2023 juga saya tidak boleh masukan sikit pun dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) kerana takut perlukan duit dan lambat untuk di bawa keluar," kata sumber.

Selain itu, sumber lain juga turut memperakui bahawa mereka terpaksa menggunakan wang simpan sambil berharap dapat digantikan semula apabila gaji masuk namun ia seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba.

"Betul,dia (KL City) tolak duit KWSP tapi dalam akaun KWSP tak masuk pun. Terpaksa guna duit simpanan dulu sementara nak tunggu gaji masuk tu. Nanti dah masuk baru ganti balik. Tapi itula tak masuk masuk," katanya.

Tambah sumber, perkara itu mengecewakan mereka kerana di dalam penyata gaji menunjukkan pihak majikan melakukan caruman KWSP namun sehingga ke hari ini, bila di semak masih tiada kemasukan pada tahun 2023.

"Ada buat laporan dekat Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini dan pihak pengurusan pun datang sekali masa buat laporan tu. Dia (pengurusan KL City B-23) bagi tarikh hujung bulan dua akan selesaikan semua tunggakan tapi dah masuk bulan tiga tak masuk pun dan semua berdiam diri je," kata sumber.

Terdahulu akbar ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan KL City FC (KL City) belum boleh menarik nafas lega apabila diberi tempoh kurang sebulan bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing.

Sebaliknya, jika gagal berbuat demikian, kelab terbabit berisiko dikenakan hukuman berat termasuk pemotongan mata, larangan pengambilan pemain import atau lebih teruk lagi, Lesen Kebangsaan ditarik balik, sekali gus disingkirkan daripada saingan Liga Super musim ini.

Disiarkan pada: March 16, 2024 @ 8:44pm
d