Bola Sepak

Netizen 'belasah' Hans Isaac

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac terus menjadi individu paling 'popular' ketika ini selepas orang ramai terutama peminat bola sepak menyelar dirinya berkenaan isu padang yang dikatakan tidak berada pada tahap memuaskan.

Malah ketika sesi sidang media hari ini, ketua jurulatih Malaysia Kim Pan-gon dan Oman, Jaroslav Silhavy meluahkan rasa kecewa berkenaan isu padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Selain itu, kedua-dua jurulatih itu jelas amat terkilan dengan apa yang terjadi ketika ini apatah lagi skuad Harimau Malaya dan Oman tidak dibenarkan berlatih di SNBJ menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 malam esok.

Beberapa hari lepas tular gambar padang yang kelihatan agak teruk namun Hans menafikannya dan berkata itu bukan keadaan terkini dan meminta orang ramai menunggu hari perlawanan.

Ia bagai mewujudkan harapan cukup tinggi kepada rakyat Malaysia. Akan tetapi, segalanya terbongkar apabila tersebarnya video di laman YouTube yang dipercayai diambil pada Sabtu lalu membabitkan perkembangan terkini padang venue itu.

Hasil tinjauan di media sosial, ternyata orang ramai meluahkan perasaan amarah mereka kepada Pengerusi PSM itu apabila dilihat gagal menyediakan segalanya seperti dijanjikan malah keadaan padang seperti itu boleh memberi kecederaan kepada pemain.

"Hahahaha, pasukan kamu (merujuk ayat konsultan) bukan nak main hari ini (9 Mac ketika sesi lawatan padang), pasukan kamu nak main 26 Mac nanti. (Sekarang) Kami nak tuntut juga manusia yang cakap gitu. Suruh dia buat 'live' apa kata dia tentang padang hari game (perlawanan) nanti,"kata Shalin Faizda.

"Hans Isaac bukanlah seorang yang 'pakar' bola sepak. Dia hanya seorang 'pelakon'. Dia perlu pergi (lepaskan jawatan). Kita mempunyai ramai lagi golongan profesional berkelayakan dan boleh menggantikannya dengan segera. Pelantikan mestilah berdasarkan merit dan bukan kerana kecenderungan politiknya," kata Mohamad Noranuar Sajari.

"Ini berlaku apabila anda meletakkan orang yang tidak mempunyai pengetahuan, set kemahiran dan latihan pengurusan untuk bertanggungjawab. Anda meletakkan orang di semua tempat yang salah kecuali yang betul,"kata Sathyan Ilangovan.

Disiarkan pada: March 25, 2024 @ 6:20pm
d