Bola Sepak

Southgate terpaksa buat keputusan sukar

Oleh AFP

London: Gareth Southgate sudah menyaksikan perlawanan antarabangsa terakhir England sebelum menamakan skuadnya ke Euro 2024 di Jerman.

Kini, dia berdepan keputusan sukar sama ada perjalanan skuadnya berjaya atau sebaliknya.

Jude Bellingham menjaringkan gol penyamaan saat akhir ketika seri 2-2 dengan Belgium pada perlawanan menghiburkan di Wembley, awal pagi tadi, yang kembali menaikkan moral selepas tewas 0-1 di tangan Brazil sebelum ini.

Bagaimanapun, perlawanan persahabatan bukan pengukur terbaik prestasi pasukan terutama apabila dihimpit tekanan, tetapi Southgate mendapat maklumat berguna mengenai pemainnya berdasarkan dua perlawanan di London itu.

England akan bertandang ke Jerman pada Jun sebagai antara pasukan pilihan untuk memenangi Kejohanan Eropah buat kali pertama selepas tewas di final pada 2021 di tangan Itali.

Ia mungkin penampilan terakhir Southgate sebagai pengendali England dan tekanan hebat menghimpit pasukan untuk meraih trofi utama pertama sejak Piala Dunia 1966.

Beliau yang mengemudi pasukan sejak 2016 mengakui akan menggunakan pemain sebaik mungkin terutama selepas kecederaan turut mengganggu persediaannya.

"Saya perlu duduk dan menilainya semula kerana sedikit keliru mengenai siapa yang saya ada dan tak ada," katanya selepas seri dengan Belgium, yang berada di ranking keempat dunia iaitu satu tangga di bawah England.

"Perkara hebat sudah tentu sebahagian pemain bermain positif menggunakan peluang yang diberikan, jadi kami ada kelebihan daripada satu aspek, namun masalah kecederaan turut perlu diberi perhatian.

"Kami kehilangan ramai pemain ketika ini dan kami akan berdepan tempoh persaingan sukar di peringkat kelab selepas ini.

"Kami tidak pasti apa yang tinggal sehingga hujungnya, tetapi kami akan membuat keputusan sebaik mungkin."

Disiarkan pada: March 27, 2024 @ 10:46pm
d