Bola Sepak

Gordic jadikan Ronaldo sumber inspirasi

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Penyerang import baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Milos Gordic mengakui corak serangan pantas dan tajam adalah kelebihannya apabila beraksi bersama Sang Kenari pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 ini.

Gordic yang berusia 31 tahun dan berasal dari Serbia turut menamakan bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo sebagai idola yang cukup diminatinya.

"Saya memilki cara dan konsep permain sendiri tapi saya meminati cara serangan seperti Christiano Ronaldo yang juga pemain kegemaran saya. Mungkin saya tak setanding Ronaldo tetapi dengan kelebihan fizikal, saya mahu menjaringkan gol sepertinya.

"Semua jurulatih mahukan penyerang menjaringkan gol sebanyak mungkin, dan oleh itu saya perlu bekerja keras serta mendapatkan panduan daripada jurulatih dalam setiap rancangan yang diatur dalam pasukan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, semalam.

Gordic yang tiba bersama ejennya cukup teruja untuk beraksi dan melalui pengalaman kali pertama dalam Liga Malaysia (Liga M) bersama Sang Kenari yang disifatkannya memilki reputasi besar dengan jumlah penyokong yang tinggi.

"Saya hadir ke Kedah untuk menjaringkan gol tetapi saya perlukan masa untuk serasi dengan pasukan yang sedang dibentuk oleh jurulatih Nafuzi Zain.

"Ini kali pertama saya akan beraksi di Liga M dan saya mahu bekerja keras untuk pasukan," katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2024 @ 12:58pm
d