Bola Sepak

NSFC-KYNS jalin kerjasama bentuk pasukan pelapis

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) bekerjasama dengan Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) dalam usaha menyediakan pemain pelapis untuk kemajuan sukan bola sepak di negeri itu.

Menerusi satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU), kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam membentuk dua pasukan akar umbi Bawah 18 Tahun (B-18) masing-masing di peringkat NSFC dan KYNS.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, MoU itu adalah satu lembaran baharu ke arah membangunkan sukan bola sepak di Negeri Sembilan.

"Sebagai antara institusi pendidikan di Negeri Sembilan, KYNS menunjukkan komitmen cemerlang dalam pembangunan insan melalui pendidikan berkualiti.

"Pada masa sama, ia bakal membantu NSFC yang merupakan wakil utama dalam arena bola sepak negeri, sekali gus memberi nilai tambah dalam kerjaya pemain muda," katanya selepas majlis MoU itu, semalam.

Beliau menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif KYNS, Mohd Asyraf Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 6:26pm
d