Bola Sepak

Pilihan terbaik bersama Nafuzi dan KDA FC - Habib

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Habib Haroon mengakui menolak beberapa tawaran lain demi untuk kembali ke Liga Malaysia (Liga M) bersama Sang Kenari di bawah bimbingan ketua jurulatih, Nafuzi Zain pada musim ini.

Pemain berasal dari Bahrain berusia 23 tahun itu berkata, beliau pada awalnya tidak merancang untuk kembali beraksi di Liga M pada musim ini sehingga dihubungi Nafuzi yang mempelawanya untuk bersama KDA FC.

"Semasa di Bahrain, saya turut menerima tawaran dari beberapa kelab lain sebelum Nafuzi menghubungi saya dan mempelawa bersama KDA FC, musim ini.

"Selepas menerima 'lamaran' daripada Nafuzi sendiri, saya tidak teragak-agak untuk menyahut cabaran untuk kembali semula ke Liga M.

"Saya yakin pilihan diterima daripada Nafuzi ini yang terbaik buat saya kerana dapat beraksi dengan corak permainan bola sepak sebenar dan beliau (Nafuzi) yakin dengan corak permainan saya," katanya.

Habib berkata, dia makin serasi selepas hampir seminggu menjalani latihan termasuk dengan kehadiran Sony Norde yang bersamanya di Terengganu FC (TFC), musim lalu.

Menurutnya, dia akan menyambut Aidilfitri kali pertama di Alor Setar, minggu depan kerana cuti terhad dan berdepan jadual aksi pramusim yang akan bermula selepas cuti umum itu.

Disiarkan pada: April 2, 2024 @ 10:16pm
d