Bola Sepak

FAM enggan tekan butang panik

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) enggan menekan butang panik susulan kejatuhan ranking skuad Harimau Malaya yang menjunam enam anak tangga di kedudukan 138 ketika ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, apa yang dialami skuad kendalian Kim Pan-gon adalah proses yang biasa memandangkan Harimau Malaya kini mencabar negara hebat rantau Asia.

Begitupun, Yusoff akui perkembangan itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan tetapi dalam masa sama sukar untuk dielakkan.

"Saya fikir kita masih belum perlu panik dengan kedudukan semasa tetapi sudah tentu kami tidak gembira apabila melihat ranking (terus menjunam).

"Namun, ini adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Mungkin dulu kita naik ranking (dengan mendadak) apabila bertemu pasukan yang mudah.

"Tetapi sekarang kita sudah di peringkat Asia dan menentang negara-negara yang lebih hebat.

"Sampai satu peringkat kita akan lalui proses ini dan saya percaya Jawatankuasa Skuad Kebangsaan FAM, barisan kejurulatihan memandang serius dalam usaha perbaiki keputusan semasa," katanya.

Semalam, Fifa mengumumkan kedudukan terbaharu dalam ranking dunia yang menyaksikan Malaysia turun enam anak tangga berbanding 132 pada 15 Februari lalu.

Penurunan itu susulan dua kekalahan di tangan Oman dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila anak buah Pan-gon tumbang 0-2 di Muscat dan Bukit Jalil.

Malah situasi itu turut menyaksikan kedudukan Malaysia di Asia Tenggara juga terkesan apabila Indonesia merampas posisi ketiga dengan menolak pasukan negara ke tangga keempat.

Pasukan negara tidak mempunyai pilihan apabila wajib memburu kemenangan dalam dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan Jun ini bagi memperbaiki kedudukan ranking, sekali gus mengintai peluang mara ke pusingan ketiga kelayakan itu.

Disiarkan pada: April 5, 2024 @ 10:37pm
d