Bola Sepak

Skuad B-23 sedia mengaum

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Skuad bimbingan Juan Torres Garrido ketika ini dilihat berada dalam fasa begitu baik dan bersedia untuk menghadapi Kejohanan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar yang akan membuka tirai pada 17 April ini menentang Uzbekistan.

Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, setakat ini segala perancangan yang dilakukan oleh jurulatih serta pihak pengurusan berjalan dengan lancar dan semangat para pemain juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Tambahnya, beberapa hari sebelum perlawanan pertama nanti, pemain serta jurulatih akan menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin untuk menyediakan pasukan dalam keadaan lebih bersedia.

"Ketika ini 'mood' pemain sangat positif dan keserasian semakin baik di dalam pasukan. Malah taktikal (yang diterapkan oleh Garrido), mereka semakin faham serta boleh ikut rentak (apa yang diinginkan oleh jurulatih).

"Baru-baru ini kita bagi mereka rehat dua hari dan itu sangat bagus untuk moral para pemain. Beberapa hari sebelum perlawanan pertama 17 April ini, pemain akan terus berusaha bersungguh-sungguh di dalam latihan sebelum perlawanan itu nanti.

"Saya lihat mentaliti mereka semua sudah bersedia untuk menghadapi hari perlawanan nanti dan keyakinan mereka sangat tinggi serta tidak gentar untuk berhadapan dengan pasukan lawan," katanya.

Terdahulu, pasukan negara dijadual menentang Uzbekistan pada aksi pertama Kumpulan D di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Rabu ini.

Selepas itu, Vietnam bakal menanti anak buah Garrido di venue sama tiga hari kemudian sebelum menutup kempen peringkat kumpulan dengan menentang Kuwait pada 23 April di Stadium Al Janoub.

Dua pasukan terbaik daripada empat kumpulan akan mara ke suku akhir di mana tiga pasukan terbaik kejohanan bakal menempah tiket ke temasya Sukan Olimpik Paris, Julai ini.

Manakala, pasukan di tangga keempat akan mengharungi aksi playoff bertemu Guinea dari benua Afrika untuk mencuri slot terakhir ke Paris.

Disiarkan pada: April 14, 2024 @ 3:06pm
d