Bola Sepak

Klopp akur impian juara makin kelam

Oleh Agensi

London: Impian gelaran liga Liverpool semakin kelam dan Jurgen Klopp akur mereka tidak akan muncul juara jika mengulangi prestasi seperti ketika menentang Crystal Palace semalam.

Gol tunggal Eberechi Eze menyaksikan kekalahan pertama Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield sejak Oktober 2022 dan Klopp mengakui persembahan buruk pemainnya.

Dengan dua kekalahan berturut-turut (tewas di tangan Atalanta Jumaat lalu), Klopp mengakui pasukannya wajar menerima apa sahaja kritikan ke atas mereka.

Tiga pasukan teratas EPL berdepan persaingan memburu gelaran yang sangat penting minggu ini dengan Manchester City menunjukkan mengapa mereka pilihan utama.

Walaupun Klopp belum mahu menyerah kalah, dia menerima hakikat peluang Liverpool semakin sukar.

Klopp berkata: 'Saya bukannya bisu. Jawapannya agak mudah. Jika kami beraksi seperti pada separuh masa pertama, bagaimana kami boleh juarai liga?

"Jika kami bermain seperti di babak kedua, kami boleh menang perlawanan tapi kami perlu hadapi empat lagi aksi getir di tempat lawan. Kritikan ketika ini kami boleh terima, ia memang betul cuma bagaimana kami tanganinya."

Disiarkan pada: April 15, 2024 @ 3:51pm
d