Bola Sepak

VAR sedia digunakan sepenuhnya

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Arena bola sepak tempatan akan memasuki dimensi baharu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) sudah sedia untuk digunakan sepenuhnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Jelas Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram, kehadiran VAR bukan saja dapat melonjakkan imej bola sepak Malaysia di mata dunia, malah beliau mengharapkan kualiti pengadilan juga dapat ditingkatkan.

Katanya, pengadil perlu memanfaatkan sebaiknya penggunaan VAR ini bagi mengelak sebarang kesilapan dalam mengadili sesuatu perlawanan.

"Bila saya sertai kursus dengan mereka (pengadil), saya sentiasa akan ingatkan mereka. Sebab bola sepak liga profesional ini sudah capai jutaan ringgit (nilai), dan apabila anda membuat keputusan ia perlu diambil dengan betul dan hati-hati.

"VAR adalah untuk membantu pengadil, jadi mereka perlu gunakannya sebaik mungkin. Jika ada rasa kemusykilan dalam satu-satu insiden, mereka boleh gunakannya.

"Saya harap mereka tidak lagi melakukan kesilapan, tapi kita akan sentiasa beri nasihat dan kaunseling kepada mereka dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam pengadil FAM 2024, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 22 pengadil ditauliahkan sebagai pengadil VAR, 20 penolong engadil ditauliah sebagai AVAR (Assistant Video Assistant Referee).

Manakala sembilan pengadil lagi ditauliah sebagai Replay Operator (RO) dan lima individu dari Astro ditauliah sebagai Replay Operator (RO).

"Tambahan seramai 17 Penolong Pengadil dipanggil untuk menyertai Seminar VAR 2024 yang mana ia membolehkan mereka dilantik sebagai Penolong Pengadil 1 & 2 bagi perlawanan yang menggunakan VAR.

"FAM juga akan membuat Latihan VAR fasa ke-2 untuk menambah pengadil-pengadil VAR," katanya.

Untuk rekod, empat set sistem VAR sudah berada di Wisma FAM dengan teknologi itu sedang digunakan untuk latihan pengadil sebagai persediaan saingan Liga M musim ini.

Sebelum ini, kancah saingan liga tempatan sering menjadi sasaran kritikan ekoran mutu pengadilan yang kurang memuaskan sehingga beberapa pengadil pernah digantung daripada tugas.

Disiarkan pada: April 19, 2024 @ 2:24pm
d