E-Sukan

20 pasukan bersaing kejohanan e-sukan

Oleh Nazri Abu Bakar

SEBANYAK 20 pasukan terbaik di seluruh Melaka menyertai E-sports Challenge 'MCO PlayerUnknown's Battleground (PUBG)' merebut wang tunai terkumpul RM450 di Live Streaming Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka semalam.

Program anjuran (JSP) dengan kerjasama Unit Sukan UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah ini berlangsung selama sebulan mulai 1 hingga 31 Mei.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Mohd Nor Hajar Hasrol Jono berkata, dua kategori yang dipertandingkan iaitu PUBG Mobile Tournament dan Sports Video Competition yang turut menawarkan tiga pemenang giveaway.

Menurutnya, program diadakan secara terbuka dan percuma itu mendapat sambutan hangat dengan penyertaan seramai 251 orang pelajar seluruh kampus berkenaan.

Beliau berkata, pertandingan yang pertama kali dianjurkan secara atas talian di membabitkan empat kategori iaitu bagi Kampus Alor Gajah, Kampus Jasin, Kampus Bandaraya dan Terbuka yang menjadikan jumlah keseluruhan pertandingan 60 skuad.

"Selain itu, Sports Video Competition yang bermula dari 1 hingga 15 Mei 2020 pula turut disertai lapan peserta dari UiTM seMalaysia yang menghantar video penyertaan bagi merebut hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM220. Pertandingan ini berjalan dengan lancar selama lima hari.

"Objektif program ini dianjurkan adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan pelajar UiTM seluruh Cawangan Melaka. Selain daripada itu, ia juga memberi peluang untuk pelajar menyerlahkan bakat dalam E-sports dan berkongsi tentang pengetahuan sukan," katanya.

Pengerusi program Muhd Amyrul Ikhmal Azman pula berkata, saingan amat kompetitif berikutan peserta perlu meraih tempat tiga terbaik bagi merebut hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM450.

Katanya, program berkenaan memberikan ruang kepada semua pelajar untuk mengisi masa mereka dengan sesuatu yang bermanfaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Salah seorang peserta program Muhammad Firdaus Mohd Nadzri berkata, saingan amat mencabar namun menyeronokkan dalam masa sama mengeratkan hubungan silaturahim walaupun sekadar atas talian.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 9:09pm
d