E-Sukan

Peluang bangunkan e-sukan tempatan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF) berhasrat untuk mempunyai permainan video nasional yang dibangun dan dimainkan oleh rakyat tempatan dengan menggunakan peruntukan dari belanjawan 2021 sebanyak RM15 juta yang diumumkan semalam.

Timbalan Presiden MESF, Afiq Fadhli Narawi berkata, beliau merasakan sudah tiba masanya Malaysia mengorak langkah ke satu tahap yang lebih tinggi dengan mempunyai permainan video nasional yang dibangunkan orang rakyat tempatan.

Katanya, suntikan dana yang diumumkan semalam itu membolehkan pihaknya mengembangkan lagi keperluan dalam membangunkan lagi industri e-sukan di Malaysia.

"Saya gembira dengan pengumuman daripada kerajaan yang terus memberi suntikan dana itu. Dapatlah kami membangunkan lagi industri e-sukan ini secara menyeluruh seperti infrastruktur dan juga permainan video sendiri.

"Pemain kita selama ini mengeluarkan wang untuk permainan luar negara seperti Mobile Legends daripada pemaju Moonton, PlayerUnknown's Battlegrounds (Tencent), Dota 2 (Valve).

"Jadi jika kita mempunyai permainan video sendiri pasti segala perbelanjaan itu akan dibelanjakan untuk negara sendiri," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen berkata, sebanyak RM15 juta peruntukan disalurkan kepada pembangunan e-sukan negara.

Dalam perkembangan yang sama, Afiq berkata, suntikan dana yang diberikan itu akan dapat membantu sukan elektronik di Malaysia untuk lebih berdaya saing sehingga ke peringkat akar umbi.

"Kami percaya e-sukan akan memberi impak positif kepada kemajuan ekonomi negara serta mampu membuka peluang pekerjaan yang baru.

"Memahami keadaan penularan Covid-19 ini, sukan elektronik adalah antara pemangkin ke arah pembangunan sosio ekonomi sekali gus memberi peluang kepada belia khususnya menceburi bidang baru," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 6:52pm
d