E-Sukan

ePiala Malaysia semarakkan Liga M

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan lebih rancak apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meneruskan penganjuran kejohanan sukan elektronik bola sepak, ePiala Malaysia edisi kedua selepas penganjuran kali pertama tahun lalu berjaya mencuri tumpuan ramai peminat-peminat eSukan FIFA di seluruh negara.

Susulan saingan Piala Malaysia musim ini yang terpaksa dibatalkan ekoran gelombang kedua pandemik Covid-19 di Malaysia, MFL mengambil peluang untuk mengubati kekecewaan penyokong bola sepak tempatan dengan menganjurkan kejohanan eSukan ePiala Malaysia secara atas talian ini di samping berharap ia mampu mengembalikan aura Piala Malaysia yang terjejas pada musim ini.

Selepas kejohanan eSukan Liga Bolasepak Malaysia (eMFL) yang berlangsung dengan jayanya pada Julai lalu, MFL terus mengorak langkah melebarkan sayapnya bertujuan untuk mewujudkan pertandingan permainan FIFA secara kompetitif yang terbaik di Malaysia menerusi ePiala Malaysia pula.

Menerusi kenyataan media MFL memaklumkan bahawa, mereka percaya ramai peminat bola sepak tanah air masih terasa dengan pembatalan kejohanan tertua di Asia Tenggara itu pada musim ini, justeru saingan Piala Malaysia menerusi kerjasama dengan Gamesbond ini diharap mampu menghadirkan semula kehangatan perlawanan bola sepak di alam maya pula dalam kalangan penyokong.

"Edisi kali ini lebih menarik dengan format baharu iaitu pemain berstatus amatur di seluruh Malaysia berpeluang untuk menyertai kejohanan di pusingan kelayakan sebelum bersaing dengan lapan pemain profesional lain yang sudah menempa nama di kejohanan eMFL sebelum ini.

"Seramai 256 pemain amatur akan bersaing dalam pusingan kelayakan menggunakan format kalah mati bagi merebut slot lapan terbaik untuk beraksi di pusingan akhir menjadikan 16 pemain secara keseluruhan bakal berentap untuk merebut gelaran juara ePiala Malaysia 2020.

"Kesemua 16 pemain ini akan diberi penghormatan untuk mewakili 16 pasukan yang bermain di TM Piala Malaysia 2020 iaitu ; Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah, Terengganu FC, Perak, Selangor, UiTM FC, PJ City FC, Pahang, Melaka, Sabah, Felda United FC, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kuching FA, Kelantan, dan Kelantan United FC," katanya.

Format di pusingan akhir juga adalah kalah mati manakala undian perlawanan antara pemain akan turut berlangsung menggunakan format yang sama seperti Piala Malaysia.

Dengan sokongan daripada penerbit permainan video ini iaitu EA Sports untuk kejohanan ini, tidak mustahil pemain amatur dari seluruh Malaysia ini mampu mencetuskan kejutan dalam kalangan pemain profesional lain sekali gus berpeluang untuk membina karier yang lebih jauh dalam arena eSukan ini.

Hadiah bernilai RM5,000 bakal menjadi rebutan untuk kejohanan yang bakal berlangsung pada 22 November 2020 bagi pusingan kelayakan dan pusingan akhir bakal berlangsung dari 1 hingga 4 Disember 2020.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 7:52pm
d