E-Sukan

GBX E-Sports tunjuk belang

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pasukan sukan elektronik FIFA21 GBX E-Sports Team berjaya melangkah ke Divisyen 1 kejohanan Piala Dunia FIFAe Club apabila berjaya mengungguli takhta kejuaraan Divisyen 2 pada minggu kedua kejohanan ini berlangsung minggu lalu.

GBX berjaya mengutip 11 kemenangan seterusnya memberikan kelebihan dari segi mata dan juga kedudukan untuk mara ke pusingan seterusnya.

Saingan peringkat seterusnya bakal menyaksikan empat pasukan terbaik dari Divisyen 1 akan melayakkan diri ke kejohanan akhir Piala Dunia FIFAe Club 2021 yang dijangka akan berlangsung pada Februari ini.

"Kami optimis dan yakin untuk mendapatkan slot ke peringkat akhir. Ini kerana pemain yakin dan percaya mereka boleh bersaing dengan pemain dari Divisyen 1.

"Selain itu, kami juga mengkaji cara permainan mereka menerusi penstriman langsung yang diadakan dan meneliti segala titik kelemahan dan kekuatan setiap pasukan yang bertanding", kata Pengurus Pasukan GBX Esports Team, Aris Danial.

Kata Aris, ia adalah pencapaian terbaik pasukan dari Malaysia yang mana pada edisi sebelum ini, belum pernah ada mana-mana pasukan dari Malaysia yang bertanding di kejohanan Piala Dunia FIFAe Club.

Pasukan GBX diwakili dua pemain ternama FIFA21 tanah air iaitu Luqman "LuqmanHzq" Haziq dan Ahmad "Ayen" Shahrin.

Ia adalah kejohanan rasmi yang dikendalikan badan bola sepak dunia iaitu FIFA. Pasukan GBX bakal bersaing dengan beberapa pasukan di Divisyen 1 untuk merebut slot ke peringkat akhir.

Antara pasukan yang berada di Divisyen 1 adalah Kashima Antlers (Jepun), Blu United (Jepun), Cyclops AG (Jepun), Wicked Esports (Malaysia), eSports Hong Kong (Hong Kong), Team Flash (Singapura) dan Dire Wolves Asia (Singapura).

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 12:00am
d