E-Sukan

GBX Esport harumkan nama negara

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pasukan sukan elektronik Fifa21, GBX Esport Team terus mengharumkan nama Malaysia apabila menjadi kumpulan pertama dari negara ini yang muncul di FifaTV bagi video pengenalan pasukan.

Untuk meletakkan pasukan itu sebaris dengan pasukan terkemuka dunia antaranya Inter Esports, Manchester City Esports dan Brodby Esports.

GBX Esport Team akan menggalas cabaran pada perlawanan akhir Piala Dunia Kelab Persekutuan Bolasepak Antarabangsa Elektornik (FIFAe) yang akan bermula esok.

Format kejohanan adalah setiap pasukan akan berentap di antara satu sama lain di dalam kumpulan dan dua pasukan yang menduduki tangga teratas akan layak ke perlawanan akhir.

Pada perlawanan akhir, pasukan itu perlu bermain secara 'Best of 5' untuk menentukan siapa bakal menjadi juara.

Pengurus GBX Esports Team Aris Danial, setiap pemain sudah melakukan persiapan rapi terutama menyesuaikan diri dengan pasukan yang diberikan oleh FIFAe.

"Persiapan terakhir bagi para pemain adalah mereka perlu menyesuaikan diri dengan pasukan yang diberikan oleh FIFAe.

Ianya boleh dijadikan satu kelebihan tetapi jika tersilap langkah boleh mengundang perkara sebaliknya.

"Pada masa sama, kami turut berbangga kerana diberi penghargaan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk muncul di dalam FifaTV.

Fokus tetap diberikan sepenuhnya kepada kejohanan peringkat akhir FIFAe Piala Dunia Kelab pada Khamis ini," katanya.

Pasukan GBX diwakili dua pemain ternama Fifa21 tanah air iaitu Luqman "LuqmanHzq" Haziq dan Ahmad "Ayen" Shahrin.

Kejohanan ini adalah kejohanan rasmi kelolaan badan bola sepak dunia iaitu Fifa.

FIFAe Piala Dunia Kelab antara kejohanan yang menjadi rebutan kelab sukan elektronik di serata dunia dan seterusnya memberikan mata tambahan bagi melayakkan diri ke kejohanan Piala Dunia FIFAe.

Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 7:51pm
d