E-Sukan

Wicked Esports membanggakan negara

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun terlepas untuk muncul juara, kejayaan wakil negara, Wicked Esports beraksi pada Grand Final Kejohanan Dunia FIFA eClub Piala Dunia, Ahad lalu masih satu pencapaian membanggakan.

Ini kerana, Wicked Esports yang diwakili Faiq Iskandar Saiful Bahri dan Muhammad Naim Muhammad Hisham adalah pasukan pertama negara yang berjaya beraksi di pentas tertinggi itu.

Pada aksi grand final itu, Faiq dan Naim tewas 1-3 kepada wakil Jepun, Blue United EFC untuk saingan Zon 2 (Asia).

Sebanyak enam zon dipertandingkan dengan juara setiap zon akan diiktiraf selaku juara dunia.

"Walaupun tak menang, kami tetap berbangga kerana menjadi pasukan pertama Malaysia yang mampu melangkah sehingga sejauh ini.

"Bermakna kami adalah pasukan kedua terbaik di zon Asia dengan sebanyak 16 negara bertanding di zon itu," kata pengurus pasukan Wicked Esports, Fareed Kamel.

Jelas Fareed, pada awalnya mereka tidak meletakkan sebarang sasaran, malah tidak pernah terlintas untuk mampu mara sehingga ke saingan grand final.

"Ini adalah penampilan pertama kami di kejohanan ini. Jadi kami tidak terlalu meletakkan sasaran tertentu.

"Kami hanya tumpukan kepada setiap peringkat pertandingan sahaja dan akhirnya berjaya mara sehingga ke grand final," katanya.

Dengan kejayaan itu, Wicked Esports berjaya mengumpul hadiah kemenangan berjumlah RM32,000.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 6:44pm
d