E-Sukan

SPRM guna platform esukan basmi rasuah

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula 'menerjah' platform esukan menerusi penganjuran kejohanan SPRM FIFA 21 Challenge mulai 1 Julai hingga 17 Julai ini.

Kejohanan SPRM FIFA 21 Challenge bertemakan Youth Against Corruption (Belia Menentang Rasuah) adalah kesinambungan daripada program PUBG Mobile i-Challenge yang pernah dianjurkan oleh SPRM sebelum ini sebagai usaha mendekati kumpulan belia yang meminati esukan.

Menerusi kenyataan media SPRM, pertandingan secara dalam talian yang dicetuskan oleh Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki sebagai pendekatan serampang dua mata apabila mesej antirasuah dan penerangan berkaitan jenayah terbabit di negara ini turut akan diselitkan sepanjang perlawanan itu.

"Sejajar ledakan teknologi, esukan seperti Mobile Legend, Starcraft, Counter Strike, Dota dan FIFA kini menjadi trend kumpulan belia kerana ia bukan sekadar untuk memenuhi masa lapang anak-anak muda malah mendorong mereka untuk menjadikan esukan sebagai satu kerjaya.

"Justeru, kejohanan anjuran bersama antara SPRM dengan THQ Esports Club yang diterajui oleh anak muda ini diharap dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada generasi muda terhadap kesan rasuah yang bukan sahaja akan meruntuhkan organisasi malah mencemarkan imej serta reputasi negara.

"Penganjuran SPRM FIFA 21 Challenge yang julung kali diadakan itu juga membuktikan SPRM memanfaatkan penggunaan teknologi ketika penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada program serta aktiviti pendidikan antirasuah yang sebelum ini dijalankan secara bersemuka," katanya.

Selain itu, SPRM akan optimum platform secara maya untuk membolehkan pihaknya mendekati kumpulan sasar bagi menyampaikan mesej antirasuah meskipun negara kini sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik.

"Pada peringkat awal, sebanyak 13 buah negeri serta tiga Wilayah Persekutuan akan mula berentap bermula 1 Julai hingga 16 Julai ini dan juara bagi setiap negeri layak untuk ke peringkat akhir iaitu pada 17 Julai ini.

"Pemenang pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM20,000 yang mana juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, diikuti naib juara (RM3,000) dan tempat ketiga (RM2,000).

"Bagi tempat keempat pula, pemenang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan lapan terbaik (RM700, 16 terbaik (RM375) serta 32 terbaik (RM200).

SPRM FIFA 21 Challenge yang bakal disertai 2,048 atlet esukan dan akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Team Haq Esports Club dan SPRM Community.

Disiarkan pada: June 24, 2021 @ 8:53pm
d