E-Sukan

NS sasar empat terbaik di PMPLS4

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad Negeri Sembilan Tabah-NSEA menyasarkan menamatkan kelompok empat terbaik pada Kejohanan Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia/Singapura Peringkat 4 (PMPLS4) 2021, yang bermula 24 Ogos hingga 25 September ini.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA), Faiz Faizal berkata, PMPLS4 bakal menawarkan hadiah wang tunai RM400,000.

Menurutnya, skuad Tabah-NSEA terdiri enam pemain itu sedang membuat persiapan terakhir dalam misi melakar kejayaan pada penyertaan kedua PMPLS4.

Katanya, sebanyak 20 pasukan akan bertanding pada kejohanan itu dengan pasukan yang menamatkan kelompok empat terbaik bakal mewakili ke saingan peringkat Asia tahun hadapan.

"Kami menyedari cabaran kali ini lebih sengit dengan 20 pasukan yang akan bertanding bagi memburu kedudukan empat terbaik.

"Namun NSEA sudah mempersiapkan pemain bagi memastikan mereka mampu mengenepikan pencabar lain terutama dari Singapura.

"Selepas misi sama pada penyertaan pertama tahun lalu tidak kesampaian, kami berharap sasaran kali ini untuk menamatkan saingan dalam kelompok terbaik sekali gus layak ke peringkat Asia tahun depan, dapat dicapai," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) dengan NSEA di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Majlis disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan hadir sama, Pengerusi Tabah, Mohamad Nor Fitri Mohamad Din.

Faiz berkata, enam pemain yang membawa cabaran Negeri Sembilan kali ini ialah Muhammad Faiz Aiman Baharuddin Abdullah, Muhammad Haziq Marazlan, Muhammad Aduka Ikmal Nor Azmi, Muhammad Amir Aiman Mohd Nazim, Mohamad Azli Amran dan Mohd Farizal Khairuddin.

Menurutnya, format kejohanan adalah setiap pasukan akan berentap antara satu sama lain dan mereka akan bertemu semua pasukan yang bertanding sebelum penentuan empat pasukan terbaik.

"Setakat ini persiapan berjalan lancar dan pemain menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan.

"Kami berharap kali ini bakal membuahkan kejayaan lebih baik selepas tahun lalu sekadar berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2021 @ 2:52pm
d