E-Sukan

Tabah-NSEA bolot RM13,000

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad Negeri Sembilan Tabah-NSEA meraih tempat ke-14 keseluruhan pada Kejohanan Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia/Singapura Peringkat 4 (PMPLS4) 2021, yang beraksi kelmarin.

Di atas kejayaan itu, mereka meraih hadiah wang tunai RM13,000.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA), Faiz Faizal berkata, ia suatu pencapaian yang baik kerana berjaya menempatkan dalam kelompok 20 pasukan yang beraksi di peringkat Grand Final.

"Berbanding pada penyertaan pertama tahun lalu, kami berada di tempat ke-15 keseluruhan dan tahun ini terdapat peningkatan dari segi pencapaian selepas berjaya mengumpul 71 mata.

"Memang diakui saingan kali ini lebih sengit, namun bangga kerana pasukan dari Malaysia mendominasi kejohanan apabila keseluruhan 16 pasukan yang beraksi di Grand Final adalah dari negara ini.

"Wakil dari Singapura gagal dalam saingan mereka," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, Tabah-NSEA diwakili enam orang pemain membabitkan Muhammad Faiz Aiman Baharuddin Abdullah, Muhammad Haziq Marazlan, Muhammad Aduka Ikmal Nor Azmi, Muhammad Amir Aiman Mohd Nazim, Mohamad Azli Amran dan Mohd Farizal Khairuddin.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati kerana sasaran ditetapkan untuk kekal dalam liga berkenaan pada tahun hadapan tercapai.

"Hasil pencapaian itu, skuad Tabah-NSEA meraih hadiah wang tunai RM13,000.

"Kami akan terus berlatih dan membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan itu tahun depan yang dijadualkan akan berlangsung pada Mac 2022," katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2021 @ 7:13pm
d