E-Sukan

Peserta Malaysia jadi jutawan kongsi hadiah RM21.7 juta

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Siapa kata bermain e-sukan tak boleh jadi jutawan apabila seorang rakyat Malaysia mencipta sejarah muncul naib juara pada kejohanan e-sukan berprestij di Romania.

Peserta terbabit Cheng Jin Xiang atau lebih dikenali dengan 'NothingToSay' mewakili pasukannya yang berpangkalan di China, PSG.LGD menduduki tempat kedua di The International 2021 Dota 2.

Dengan kemenangan terbabit, lima pemain PSG.LGD akan membawa pulang AS$5.2 juta (RM21.7 juta).

Kejohanan International 2021 adalah pertandingan e-sukan dengan bayaran tertinggi dalam sejarah dengan hadiah berjumlah AS$40 juta (RM166 juta).

Jumlah wang kemenangan itu setanding dengan Wimbledon dan 10 kali lebih banyak daripada Tour de France.

Selain itu, dua lagi rakyat Malaysia Thiay Jun Wen dan Chan Chon Kien adalah peserta mewakili kelab yang berpangkalan di China iaitu Invictus Gaming menduduki tempat keempat dalam The International 2021 sekali gus memenangi AS$2.4 juta (RM10 juta).

Seorang lagi peserta dari Malaysia, Ng Kee Chyuan adalah ahli Fnatic yang berpangkalan di United Kingdom terikat di kedudukan ke-9 hingga 12 sekali gus memperoleh AS$800,400 (RM3.3 juta).

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Ti Lian Ker ketika dihubungi Arena Metro memaklumkan bahawa kejayaan wakil Malaysia itu membuktikan negara ini mempunyai pemain berbakat dalam e-sukan.

"Mereka menunjukkan dengan usaha, semangat tidak mudah mengaku kalah dan disiplin tinggi, pemain Malaysia juga boleh bersaing diperingkat tertinggi antarabangsa.

"Ini memberi inspirasi dan contoh positif kepada ramai belia yang menaruh minat tinggi kepada e-sukan," katanya.

Mengikut rekod, Dota 2 adalah antara permainan komputer yang paling banyak dimainkan di seluruh dunia dan akan dipertandingkan di Sukan Asia 2022 di China.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 8:47pm