E-Sukan

Sasar empat pingat, kedudukan 2 teratas E-Sukan di Hanoi

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menyasarkan empat pingat dan mencapai kedudukan dua teratas keseluruhan dalam Sukan Sea Hanoi yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei depan.

Sejumlah 10 pingat emas menjadi rebutan dalam eSukan di dalam edisi Vietnam.

Presiden MESF Datuk Ananth S Nathan berkata pingat-pingat itu dijangka diperoleh daripada permainan seperti "Mobile Legends: Bang Bang" (MLBB), "Player Unknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile" (acara berpasukan), "FIFA Online 4", dan "Arena of Valor" untuk mendapatkan kedudukan dua teratas secara keseluruhan.

Jika boleh kami mahu memenangi pingat dalam semua acara tetapi kami mempunyai peluang terbaik di dalam empat permainan.

Empat permainan ini dipilih berdasarkan daya saing atlet kami di peringkat antarabangsa dan kami mempunyai kekuatan dari segi sejarah," kata beliau dalam satu sidang media maya hari ini.

Beliau mengesahkan Malaysia juga akan menyertai pertandingan PUBG Mobile (individu), Garena Free Fire, League of Legends (PC), kedua-dua acara berpasukan lelaki dan wanita dalam "League of Legends: Wild Rift" (mobil) tetapi tidak bertanding dalam "CrossFire".

Apabila eSukan mula dipertandingkan di Sukan Sea pada edisi 2019 di Manila, Malaysia membawa pulang satu emas menerusi Hearthstone dan satu gangsa menerusi MLLB berpasukan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Atlet Kebangsaan MESF, Kelvin Phang Ching Kuen berkata persekutuan itu akan menganjurkan pemilihan di peringkat kebangsaan dari 18 Februari hingga 6 Mac "untuk mengenal pasti individu terbaik secara saksama" bagi mewakili negara.

Pemain terpilih akan menghadiri "boot camp" selama dua bulan di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil dan EBN Esports City di Quill City Mall selain daripada pendedahan dalam pertandingan dalam negara dan antarabangsa sebelum ke Hanoi.

Atlet-atlet itu juga perlu mematuhi had umur ditetapkan penganjur, iaitu berumur 18 tahun dan ke atas pada 12 Mei ini.

Disiarkan pada: February 11, 2022 @ 9:14pm
d