E-Sukan

12 pasukan rebut RM1.78j

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hadiah lumayan keseluruhan bernilai AS$400,000 (RM1.78 juta) bakal menjadi rebutan pada kejohanan ESL One yang akan berlangsung di Genting Highlands bermula 23 hingga 28 Ogos ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker yang menyempurnakan majlis pelancaran kejohanan itu berkata, kejohanan menghimpunkan 12 pasukan terbaik di seluruh dunia itu memberi petanda positif peluang Malaysia untuk terus dipilih menganjurkan lebih banyak kejohanan e-sukan pada masa depan.

"Kita boleh lihat pada kejohanan ESL One kali ini jualan tiket sudah habis sepenuhnya dengan lebih 4,000 keping terjual.

"Malah, kami menjangkakan lebih 15 juta tontonan secara keseluruhan memandangkan pasukan yang sertai kejohanan ini adalah terbaik di dunia seperti Team Secret dan 11 kelab esukan yang lain," katanya.

Selain Team Secret, 11 lagi pasukan yang sertai kejohanan ESL One kali ini adalah Team OG, Fnatic, Alliance, Team Liquid, Nigma Galaxy, Entity, Team Aster, Boom Esports, Talon Esports, TSM dan Thunder Awaken.

Kesemua pasukan itu akan bermain permainan video Dota 2 yang kali ketiga dianjurkan di Genting Highland.

Sementara itu, Lian Ker berkata, pihak kementerian sudah pun mempunyai 'pelan biru' untuk menjadikan esukan sebagai antara platform atau hub pelancongan negara.

"KBS memang akan tumpu bukan sahaja aktiviti esukan daripada segi pertandingan, malah kita juga akan membangunkan infrastruktur yang diperlukan supaya kita dapat menjadikan negara sebagai hub pelancongan.

"Ini kerana esukan ketika ini menjadi industri sedang berkembang dan mempunyai impak besar dan berdasarkan statistik peminat yang ramai di seluruh dunia, esukan boleh memberi pulangan jutaan ringgit," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2022 @ 4:18pm
d