E-Sukan

MSN nafi dakwaan MESF tidak dapat wang peruntukan kerajaan

Oleh Affan Rostam

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan daripada Persekutuan Esukan Malaysia (MESF) yang mengatakan mereka tidak mendapat jumlah wang seperti diperuntukkan kerajaan pada setiap tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, MSN memaklumkan, dakwaan MESF adalah tidak tepat dan ia dibuat tanpa memahami peruntukan bajet pembangunan sektor e-sukan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyalurkannya tertakluk kepada kelulusan program ditetapkan.

"KBS menerusi agensi pelaksana seperti Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Impact Intergrated yang bertanggungjawab terhadap peruntukan kerajaan tidak akan memberi keseluruhan peruntukan kepada mana-mana badan sukan tanpa penilaian dan justifikasi terhadap perancangan dikemukakan.

"Dalam erti kata mudah, peruntukan tidak akan disalurkan begitu sahaja tanpa memastikan program dan aktiviti yang dilaksanakan akan memberi impak kepada penggiat sukan itu selari dengan strategi perancangan yang dipersetujui bersama," katanya.

Malah, MSN menjelaskan, pendekatan digunakan ketika ini konsisten sejak sekian lama seperti peruntukan bajet tahunan kepada mana-mana badan sukan yang mendapat bantuan kerajaan apabila ia disalurkan hanya kepada program yang dipersetujui dan diluluskan secara bersama dengan agensi pelaksana KBS, khususnya MSN.

Pada masa sama, MSN berkata, KBS melancarkan Pelan Strategik Pembangunan E-Sports 2020-2025 pada 2019 dalam usaha menyelaras hala tuju dan pelaksanaan pembangunan e-sukan negara disamping pelbagai usaha lain sudah dibuat.

"Sebuah pusat latihan kebangsaan diwujudkan di MSN sebagai pusat persediaan ke temasya sukan utama selain hab Esports Integrated (ESI) di Puchong sebagai 'one stop centre' untuk pusat kegiatan kepada masyarakat umum.

"MESF sebagai badan induk dijemput bekerjasama dengan ESI untuk penganjuran sukan selain usaha penggubalan undang-undang dan tadbir urus yang efisyen, namun MESF tidak menunjukkan minat atau memberi maklum balas.

"Ironinya, persatuan E-Sports negeri pula bekerjasama dengan ESI untuk penganjuran kejohanan Liga E-Sports Malaysia, namun tiada wakil dan penglibatan MESF," jelas MSN.

MSN menegaskan, sebagai agensi pelaksana yang mengawal peruntukan kerajaan, mereka sedia membantu MESF untuk program pembangunan atlet jika ada perancangan dikemukakan seperti mana yang diperuntukkan bagi membiayai pasukan negara ke temasya Sukan Sea dan Komanwel yang lalu.

Jelasnya, pembangunan e-sukan antara diberikan keutamaan oleh KBS dan seharusnya semua pihak bekerjasama memastikan pembangunan program secara berkesan dilaksanakan dan tidak mencipta kekeliruan berdasarkan kepada kenyataan tidak berasas.

Disiarkan pada: October 11, 2022 @ 10:04pm
d