E-Sukan

Team Haq cuba strategi, taktikal baharu

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad Team Haq mahu mencipta sesi sensasi di kejohanan dunia awal tahun depan dengan memastikan pasukan Malaysia mampu meraih keputusan positif walaupun berhadapan lawan lebih hebat.

Pengasas Team Haq, Muhammad Aimanulhaq Zaharuddin berkata, Kejohanan Mobile Legends Professional League Invitational (MPLI) peringkat Asia pada 28 Oktober hingga 6 November ini menjadi medan persediaan terbaik buat skuad e-sukan negara itu untuk memperbaiki setiap kelemahan sebelum tampil di peringkat lebih tinggi.

Aimanulhaq berkata, pasukannya akan menampilkan aksi terbaik selain mencuba strategi dan taktikal baharu sebelum menghadapi kejohanan besar, M4 Mobile Legends World Championship yang akan berlangsung pada 1 hingga 15 Januari tahun depan.

Katanya, Team Haq melakukan latihan sekurang-kurangnya enam jam sehari selain pemain perlu menjaga tidur dan pemakanan bagi memastikan mental berada pada tahap terbaik untuk menghadapi mana-mana kejohanan. "Untuk MPLI memang sasaran kami untuk muncul juara dan bagi kejohanan M4 kami sasar podium. Jadi MPLI nanti menjadi sesi perkenalan dengan pasukan lain.

"Kami berlatih empat jam petang dan dua jam malam yang mana cuti hanya sekali seminggu. Pemain e-sukan pun kena jaga tidur dan pemakanan sebab walaupun tak banyak menggunakan fizikal, tapi ia lebih kepada mental.

"Jadi kalau tidur tak cukup, benda itu akan kacau mental pemain," katanya ketika ditemui selepas Team Haq melakukan kunjungan ke pejabat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), di sini, semalam. Kehadiran Team Haq ke pejabat NSTP disambut Pengarang Kumpulan (Berita Harian) BH Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman manakala Harian Metro diwakili Pengarang Berita Noor Azam Ab Aziz.

Selain menjadi medan ujian kepada pasukan untuk mengahadapi kejohanan M4, MPLI turut menawarkan wang kemenangan berjumlah USD100,000 (kira-kira RM474,000).

Sementara itu, kejohanan M4 yang akan berlangsung di Indonesia menawarkan hadiah keseluruhan USD800,000 (kira-kira RM3.8 juta) dengan juara difahamkan akan memperoleh lebih RM1 juta.

Aimanulhaq bagaimanapun menegaskan bahawa habuan kemenangan bukan menjadi sasaran utama Team Haq, sebaliknya mereka lebih fokus untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

"Kami mahu tampil dengan aksi terbaik untuk negara walaupun sedar saingan di M4 sangat sukar. Namun, jika menang, hadiah kemenangan itu sebagai bonus buat kami," katanya.

Team Haq mencipta sensasi apabila muncul juara pada penampilan sulungnya dalam perlawanan Grand Final Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim Ke-10 dengan mengejutkan juara bertahan Todak 4-2, 16 Oktober lalu.

Disiarkan pada: October 22, 2022 @ 4:12pm
d