E-Sukan

GamesMY Esports lancar pas keahlian berbentuk NFT

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Syarikat e-sukan meningkat naik, GamesMY Esports mencipta sejarah apabila menjadi syarikat e-sukan pertama di Malaysia mengeluarkan pas keahlian berbentuk token tidak sepiawai (NFT).

Pengarah Urusan GamesMY Esports, Luqman Hakim Mat Hassan berkata, pihaknya mahu mencuba sesuatu yang baharu, sekali gus seiring dengan peredaran semasa.

Beliau berkata, NFT memberikan pengalaman baharu daripada aspek pas keahlian lain daripada yang lain dan pemegangnya akan mendapat akses istimewa kepada pelbagai produk syarikat e-sukan terbabit.

"Antaranya diskaun di studio GamesMY untuk bermain permainan video dan kafe, penyertaan dalam aktiviti anjuran GamesMY seperti strim, hadiah dan kejohanan.

"Mereka turut berpeluang menyertai seminar pendidikan membabitkan topik seperti ceramah crypto, 'bootcamp' dan tutorial NFT," katanya ketika majlis pelancaran NFT di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, minggu lalu.

Untuk rekod, GamesMY pernah menganjurkan pelbagai kejohanan e-sukan sejak 2018 antaranya Zush Esports Cup, XM Esports Cup, GMX Cup S1 dan yang terbaru, MSL Cup.

Pada majlis sama, GamesMY turut menandatangani perjanjian bersama rakan strategik bersama realme sebagai rakan telefon pintar rasmi, Forfit sebagai rakan barangan rasmi serta redragon sebagai rakan permainan rasmi mereka.

Disiarkan pada: December 15, 2022 @ 8:43pm
d