E-Sukan

Malaysia juara GEG

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Malaysia terus mencipta nama di persada dunia dalam arena e-sukan apabila muncul juara keseluruhan di Pertandingan Esports Global ke-3 (GEG) di Riyadh, Arab Saudi yang tamat semalam.

Presiden Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA), Kenchi Yap berkata, kejayaan atlet Malaysia itu adalah pencapaian yang hebat.

"Saya gembira dengan pencapaian pasukan Malaysia dan mengakui usaha atlet serta sokongan kolektif dari semua pihak berkepentingan sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejayaan ini.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Esports Global (GEF) atas menganjurkan acara yang fenomena ini dengan mempamerkan bakat esports secara global dan memupuk semangat persaudaraan serta semangat sukan di antara negara bertanding," katanya.

Kecemerlangan atlet dalam e-sukan di peringkat antarabangsa membuka peluang buat pasukan kebangsaan untuk mencapai kejayaan lebih besar di Sukan Sea 2025 dan Sukan Asia 2026 nanti. Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia atas kejayaan diperoleh mereka di kejohanan itu.

Terdahulu, dalam kejohanan GEG itu, Malaysia memenangi pingat emas dalan acara Dota kategori wanita 2 selepas mereka cemerlang mengalahkan Thailand, Argentina, dan Peru dengan kemenangan 2-0 dalam setiap pusingan.

Untuk kategori terbuka Dota 2, hasrat untuk ulangi kejayaan seperti pasukan wanita tidak kesampaian apabila mereka tewas 0-2 kepada Kazakhstan di final manakala satu lagi perak hadir dari sukan Street Fighter 6.

Disiarkan pada: December 18, 2023 @ 3:48pm
d