Hoki

Arul berat hati 'buang' 13 pemain

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj kini berada pada fasa akhir untuk memilih senarai 25 pelatih.

Keputusan yang bakal dilakukan itu bermakna, Arul terpaksa mengetepikan 13 pemain daripada senarai asal 38 pelatih yang dipilihnya sebelum ini.

Jurulatih yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa itu bagaimanapun menegaskan, ia keputusan sukar untuk melepaskan barisan pemain sedia ada kerana ada antaranya mempunyai kualiti yang beliau mahukan.

"Bukan cara saya untuk pecahkan kumpulan seperti senior dan remaja. Tapi sudah tentu setiap perancangan akan ada perubahan. Saya sudah memperoleh maklumat daripada perlawanan persahabatan serta sesi latihan sebelum ini.

''Jadi saya sudah nampak dengan lebih jelas pemain yang akan dipilih. Ia sesuatu yang sukar untuk saya kerana perlu mengurangkan jumlah pemain sebab ada segelintir daripada mereka yang mempunyai potensi," katanya.

Jelas Arul, beliau akan memastikan barisan pemain yang diketepikan itu terus mendapat bimbingan terutamanya membabitkan program latihan di gimnasium dan larian.

"Apabila bermulanya Liga Hoki Malaysia nanti, saya akan kembali membuat penilaian dan cuba memberi peluang kepada mereka untuk dipilih semula dalam skuad kebangsaan," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 6:34pm
d