Hoki

THT bakal lantik jurulatih berkaliber

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) belum lagi memutuskan pengendali skuad gergasi, Pasukan Hoki Terengganu (THT) bagi mengharungi kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan.

Bagaimanapun pemangku Presiden PHNT, Mohd Fikri Harun menjelaskan beberapa jurulatih sudah ada dalam radar persatuan itu bagi membimbing THT.

"Kita ada beberapa pilihan jurulatih, mereka mempunyai nama besar dalam sukan hoki negara, tapi setakat ini kita belum lagi membuat keputusan muktamad siapa yang bakal membimbing THT.

"Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan umumkan nama jurulatih berkenaan jika semuanya selesai apatah lagi kejohanan akan berlangsung tidak lama lagi," katanya kepada Sukan NSTP, namun enggan mendedahkan nama jurulatih berkenaan.

Difahamkan dua pengendali yang disenarai pendek untuk membimbing pasukan itu termasuk bekas jurulatih musim ini, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang sebelum ini berkelana ke Indonesia sebagai pengarah teknikal Persatuan Jawa Barat selain bekas pengendali skuad kebangsaan, Stephen Van Huizen.

Sebelum ini skuad THT juga dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatihnya musim lalu, I Vikneswaran atau lebih mesra dipanggil Vicky, namun penawaran lewat sehari menyaksikan THT 'berputih mata' apabila jurulatih itu mengikat kontrak dengan pasukan Sabah.

Hal ini diakui Vicky, namun beliau menjelaskan mahukan cabaran berbeza membimbing pendatang baharu itu.

"Musim depan saya akan bimbing pasukan Sabah, THT ada 'offer' tapi terlewat sehari selepas saya setuju bersama pasukan Sabah," kata Vicky ketika dihubungi.

Musim ini skuad THT yang dibimbing Dhaarma gagal meraih sebarang trofi kejuaraan apabila hanya muncul naib juara Piala TNB, naib juara Piala Sumbangsih dan ketiga liga.

Terdahulu konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkam MHL akan bermula 8 Januari hingga 28 Februari 2021.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 6:51pm
d