Hoki

Muka lama jadi taruhan THT

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Hampir 60 peratus muka lama bakal memperkasa Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam misi mengintai kejuaraan pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang bakal dilangsungkan secara berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula 14 Januari ini.

THT yang sebelum ini menamakan jurulatih Singapura, K Rajan sebagai pengendali baharu skuad itu mempertaruhkan penggempur berbisa skuad Malaysian Tigers, Faizal Saari untuk merobek kubu lawan.

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun berkata, turut membarisi THT bekas kapten skuad kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah, Fitri Saari dan Nabil Fikri Mohd Noor.

"Dalam saingan 2021, THT mempertaruhkan hampir 60 peratus pemain musim ini dalam misi merangkul sekurang-kurangnya satu kejuaraan selepas terlepas musim 2020.

"Kita berkeyakinan biarpun tanpa tonggak import, pemain tempatan yang bakal menggalas cabaran THT tidak kurang hebatnya seperti pemain adik-beradik Faizal dan Fitri selain beberapa lagi pemain berpengalaman.

"Lagipun jurulatih, K Rajan juga berpengalaman luas dalam sukan itu selain corak latihan beliau juga bersesuaian dengan DNA hoki negeri," kata Fikri.

Musim ini skuad THT yang dibimbing bekas pengendali skuad wanita kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah gagal meraih sebarang trofi selepas hanya muncul naib juara Piala Sumbangsih dan Piala TNB serta ketiga liga.

Kejohanan MHL musim depan bakal dilangsungkan tanpa kehadiran penonton berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda.

Kejohanan itu menjadi perlawanan sulung dianjurkan mengikut kalendar kejohanan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi musim 2021.

Kategori lelaki bakal menampilkan Sabah selaku pendatang baharu selain tujuh lagi pasukan musim ini iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurinsafi HT selain THT.

Bagi kategori wanita pula yang akan bermula pada 20 Januari menampilkan PKS Uniten–KPT, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan Sabah selain dua pasukan baharu iaitu Young Tigress dan UniKL Ladies yang bakal membuat penampilan sulung manakala Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) sah mengumumkan menarik diri dalam kejohanan tahunan itu.

Disiarkan pada: December 24, 2020 @ 6:55pm
d