Hoki

Persiapan THT sedikit terjejas

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pemain berpengalaman Pasukan Hoki Terengganu (THT), Shahrun Nabil Abdullah akui persiapan pasukannya sedikit terganggu selepas ketiadaan tiga pemain yang positif wabak pandemik Covid-19.

Katanya, penyerang berpengalaman, Faizal Saari, Shello Silverius dan Abdul Khaliq Hamirin adalah antara tonggak penting menjelang kejohanan pada 11 Mac ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

"Ketiadaan tiga pemain itu yang disahkan positif wabak pandemik Covid-19 cukup dirasai pasukan lebih-lebih lagi liga semakin hampir untuk membuka tirainya.

"Malah latihan juga sedikit terganggu selain terbatas kerana latihan norma baharu tidak sama sebagaimana sebelum ini bagi membendung penularan wabak itu.

"Jika tiga pemain itu tidak dapat meneruskan aksi bersama pasukan, sudah tentu ia bakal memberikan impak yang besar terutama Faizal yang ditugaskan untuk merobek kubu pelawat selepas ketiadaan pemain import.

"Kami harapkan tiga pemain itu segera sembuh bagi menajamkan lagi jentera serangan, namun jika tidak dapat bersama pasukan, beberapa pemain termasuk Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Ismail Abu dan Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin mampu menggalas tugas di barisan serangan.

"Manakala bagi pukulan sudut penalti tugas itu mungkin boleh diberikan kepada bekas pemain TNB, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Nor Firdaus Rosdi," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Bagaimanapun, bekas kapten skuad kebangsaan 2013 dan 2014 itu berkeyakinan pemain muda yang berada dalam pasukan mampu beraksi dengan baik ditambah pengalaman luas jurulatih, K Rajan.

"Saya tidak nafikan faktor pengalaman menjadi penentu sesebuah pasukan, walau bagaimanapun kita tetap bersedia untuk mengharungi liga biarpun tanpa tiga pemain itu kerana kita mempunyai ramai pemain muda berbakat kerana sasaran kita musim ini sekurang-kurangnya satu piala selepas gagal meraih sebarang trofi musim lalu.

"Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) adalah pencabar utama selain pasukan TNB dan Maybank.

"Namun berdasarkan prestasi ketika aksi pemanas badan sebelum ini termasuk bertemu dengan UniKL (1-1), Nur Insafi ( 5-1) dan seri 2-2 dengan pasukan TNB, pemain dilihat semakin serasi dan sudah bersedia.

"Hari ini kita akan bertemu dengan Maybank untuk aksi persahabatan kali keempat sebelum Liga Hoki Malaysia (MHL) membuka tirainya," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 3:01pm
d