Hoki

Ambil berkat bulan suci

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Bukan semua kenangan manis dilalui atlet ketika Ramadan dan itulah yang dialami oleh penyerang utama skuad hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn.

Mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika mewakili UniKL Ladies pada final Piala Vivian May Soars 3 April lalu, Hanis perlu membuat keputusan segera untuk melakukan pembedahan bagi membolehkannya pulih sepenuhnya sekali gus dapat beraksi semula bersama skuad kebangsaan.

Jelas pemain berusia 25 tahun itu, dia sebenarnya mempunyai pilihan untuk melakukan pembedahan selepas Ramadan dan Syawal, namun bertekad untuk segera melakukannya di bulan suci ini.

"Selepas habis aksi final, tinggal beberapa hari sahaja hendak berpuasa. Jadi saya terus segera jumpa doktor dan dia nasihatkan saya untuk melakukan pembedahan segera.

"Saya fikir elok juga buat pembedahan awal. Lagipun proses pemulihan ACL ini memakan masa dan selepas pembedahan saya tak boleh terlalu aktif.

"Bermakna sesuailah jika saya melalui proses pemulihan ketika bulan puasa kerana tidak melakukan banyak aktiviti ketika bulan ini. Pada masa saya dapat menjalani ibadah berpuasa," katanya.

Meskipun ia menjadi kenangan pahit, Hanis tetap bersikap positif dan percaya ada hikmah di sebalik musibah yang menimpa dirinya itu.

"Lagi pun tidak banyak kejohanan yang akan disertai skuad kebangsaan pada tahun ini. Jadi lebih baik saya fokus kepada proses pemulihan yang ambil masa selama enam bulan," katanya.

Mengenai Aidilfitri yang bakal menjelma, Hanis yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata dia masih berpeluang kembali menyambutnya bersama keluarga berikutan statusnya sebagai pelajar.

"Alhamdulillah ada ahli keluarga yang akan ambil saya di Kuala Lumpur. Selain beraya, saya akan terus menjalani proses pemulihan di kampung," katanya selepas kerajaan membenarkan pelajar merentas negeri pulang ke kampung ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Disiarkan pada: May 8, 2021 @ 11:58pm
d