Hoki

Skuad hoki remaja negara mula latihan hujung bulan ini

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Enggan berlengah lagi menyebabkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memanggil barisan pemain skuad remaja lelaki negara menyertai kem latihan bermula hujung bulan ini.

Timbalan Presiden KHM, Datuk Dr S Shamala, berkata skuad bimbingan Wallace Tan itu akan menyertai kem latihan secara gelembung sukan di Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persiapan mengharungi saingan Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung di India bermula 24 November hingga 5 Disember ini.

Beliau berkata, ketika ini, barisan pemain hanya menjalani latihan secara bersendirian dan dipantau menerusi atas talian bagi memastikan mereka berada pada tahap optimum.

Katanya, tiada perubahan besar dilakukan membabitkan barisan pemain dan corak latihan berikutan mereka sudah serasi bersama dan mengikuti setiap perkara yang diajar oleh barisan kejurulatihan.

"Kita akan bermula latihan secara gelembung sukan bermula hujung bulan ini bagi mengekalkan momentum mereka menjelangnya kejohanan Piala Dunia itu.

"Barisan pemain sudah bersama sejak setahun dahulu apabila mereka sebenarnya dipersiapkan untuk kejohanan hoki Asia namun kini matlamat adalah saingan Piala Dunia pula.

"Saya yakin mereka mampu melakukan kejutan dan mencipta kejayaan pada kejohanan terbabit berdasarkan persediaan rapi yang dilakukan sejak setahun lalu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, mengesahkan skuad remaja lelaki negara layak beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja.

Pasukan hoki remaja lelaki negara layak berdasarkan kiraan mata yang dilakukan Persekutuan Hoki Asia (AHF) selepas Kejohanan Remaja Asia dibatalkan.

Berdasarkan kiraan mata, Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan 57.6 mata di belakang India (62.3 mata) yang turut layak sebagai tuan rumah selain Pakistan (56.1 mata) dan Korea Selatan (55.1 mata).

Disiarkan pada: August 15, 2021 @ 9:06pm
d