Hoki

Malaysian Tigers menang lagi

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad hoki senior kebangsaan meneruskan momentum kemenangan apabila berjaya menewaskan Wales 4-3 pada perlawanan ujian ketiga dalam siri Jelajah United Kingdom 2021 yang berlangsung awal tadi.

Jelas sekali kemenangan terbabit membuktikan skuad hoki senior kebangsaan sudah mendapat rentak dan menunjukkan peningkatan positif dalam usaha memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Ketua jurulatih skuad hoki senior kebangsaan, Arul Selvaraj berkata, beberapa pemain terutamanya penyerang berbisa, Faizal Saari menunjukkan peningkatan sekali gus mampu beraksi dengan lebih baik.

Katanya, kemenangan itu juga bakal menyuntik semangat pemain untuk terus mencipta keputusan positif dalam usaha menyediakan pasukan yang mantap untuk kejohanan akan datang.

"Dalam perlawanan ini kami dihadiahkan dengan dua pukulan sudut penalti dan kami menjaringkan gol daripada kedua-duanya sementara lawan yang menerima empat pukulan sudut penalti menjaringkan satu gol sementara satu lagi penalti stroke.

"Pada perlawanan ini juga, disiplin pemain di atas padang tidak berapa baik menyebabkan kami mengutip tiga kad hijau dan satu kad kuningl.

"Pasukan Wales menggunakan kekurangan kami dengan menjaringkan gol termasuk gol pukulan stroke dan kesilapan berkenaan akan kami nilai kembali dalam sesi analisis video serta memperbaikinya.

"Jika dilihat pertemuan terakhir Malaysia dan Wales, ia aksi yang sengit di mana pertemuan terakhir Malaysia menewaskan mereka 2-1. Namun untuk aksi kali ini, apa yang dapat kami pelajari adalah untuk menggunakan setiap peluang yang ada dengan sebaiknya.

"Kekuatan pasukan negara adalah kelajuan dan kami akan membawa keyakinan yang ada ini untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Wales Hockey Centre itu, Wales terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi pukulan stroke yang disempurnakan Joseph Naughalty sebelum pemain berpengalaman, Muhammad Razie Abd Rahim menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pukulan sudut penalti.

Skuad negara mendahului 2-1 pada minit ke-26 menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang memanfaatkan pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, Wales kembali mengejar kedudukan menerusi Gareth Furlong.

Faizal kembali meletakkan Malaysia di depan selang beberapa minit kemudian sebelum gol keempat disempurnakan Shello Silverius pada minit ke-54.

Wales jelas menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila mereka tidak mensia-siakan pukulan stroke yang disempurakan Naughalty selang enam minit kemudian.

Perlawanan berkesudahan dengan kemenenangan 4-3 memihak pasukan negara dan Malaysia dijadual kembali menentang Wales untuk perlawanan seterusnya pada awal pagi Rabu ini di Reading Hockey Club.

Disiarkan pada: October 10, 2021 @ 2:50pm
d