Hoki

Menang namun Wallace belum puas hati

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Skuad projek khas kebangsaan terus menunjukkan aksi konsisten pada Siri Jelajah United Kingdom apabila sekali lagi mencatat kemenangan 5-4 ke atas skuad bawah 21 tahun (B-21) England, awal pagi tadi.

Berlangsung di Bisham Abbey, kemenangan kedua itu bagaimanapun belum dapat memuaskan hati pengendali skuad negara, Wallace Tan yang melihat beberapa aspek perlu diperbaiki selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas skuad bawah 21 tahun Wales sebelum ini.

"Untuk perlawanan hari ini terutamanya dalam aksi separuh masa pertama, pemain menunjukkan satu permainan yang baik dan semua dirancang berjalan dengan baik.

"Walaupun kami menang dalam perlawanan ini tetap masih ada yang perlu dipelajari oleh pasukan kerana ada lagi beberapa aspek perlu diperbetulkan. Kami masih mempunyai baki dua perlawanan untuk memperbaiki lagi apa yang perlu kami lakukan," katanya.

Pada perlawanan hari ini, skuad negara mula memperoleh gol pertama minit ke-18 menerusi jaringan padang Muhammad Amirul Haniff Mamat sebelum Muhammad Noor Firdaus Rosdi meletakkan Malaysia di hadapan 2-0 pada minit ke-24.

Berselang tiga minit kemudian, menerusi satu lagi gerakan padang, Malaysia melebarkan jurang gol 3-0 hasil jaringan Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan pada minit ke-29, giliran Muhammad Muhibuddin Moharam mencatat nama selaku penjaring apabila menyudahkan kelebihan pukulan sudut penalti.

Muhammad Amirul Haniff Mamat sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-33 menerusi gerakan padang untuk memastikan Malaysia terus selesa mendahului 5-0.

Namun bermula minit ke-38, England mula mengejar kedudukan hasil pukulan sudut penalti untuk kedudukan berubah 5-1. Kelebihan pukulan sudut penalti terus dimanfaatkan oleh England apabila menjaringkan tiga lagi jaringan minit ke-43, 55 dan 59 untuk perlawanan berakhir dengan kemenangan 5-4 berpihak skuad negara.

Disiarkan pada: October 13, 2021 @ 12:16pm
d