Hoki

Malaysian Tigers dijangka menyerlah di Trofi Juara-Juara Asia

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yakin skuad hoki kebangsaan mampu meraih pencapaian terbaik pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Lelaki 2021 yang akan berlangsung di Bangladesh, Disember depan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, keyakinan itu berdasarkan kemajuan yang memberangsangkan dicapai skuad berkenaan dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021.

"Kita (MHC) menyasarkan untuk skuad hoki kebangsaan meraih satu pencapaian terbaik pada kejohanan itu yang akan berlangsung di Bangladesh Disember nanti.

"Saya yakin skuad kebangsaan mampu mendapat satu keputusan yang amat memberangsangkan pada kejohanan itu dengan mengambil kira kedudukan pasukan kita yang kini berada dalam 10 pasukan terbaik dunia.

"Saya yakin dan pencaya dengan keupayaan ketua jurulatih, Arul Selvaraj untuk mempersiapkan pemain bagi menghadapi kejohanan berkenaan," katanya.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Agung dan Pemilihan Ahli Jawatankuasa Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) sesi 2021-2023 di Klana Resort di sini, hari ini.

Subahan berkata, Siri Jelajah United Kingdom 2021 yang diharungi skuad hoki kebangsaan adalah sebahagian daripada persiapan bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

"Kejayaan meraih kedudukan dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia ini akan membakar semangat pemain untuk melakar kejayaan itu nanti," katanya.

Kata Subahan, berdasarkan kedudukan ranking terkini, Malaysia berada bersama Belgium di kedudukan pertama diikuti Australia, India, Belanda, Jerman, England, Argentina, New Zealand dan Sepanyol.

Dalam pada itu, beliau menggesa persatuan hoki negeri-negeri memberi fokus kepada program pembangunan dalam usaha melahirkan seramai mungkin pemain berbakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, tanpa kerjasama dan sokongan padu ahli gabungan di peringkat negeri, sukar bagi MHC untuk memperkasakan sukan hoki negara dan meneruskan kecemerlangan di persada antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengekalkan jawatan sebagai Presiden PHNS diikuti ahli jawatankuasa yang lain iaitu Datuk Masri Razali (Timbalan Presiden PHNS) dan Naib Presiden terdiri Datuk Logengdran, Datuk Daljet, Datuk Jehadhevien dan M Gopinathan, yang turut kekal jawatan masing-masing.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 8:21pm
d