Hoki

Arul Selvaraj puas hati persembahan anak buahnya

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Tamat sudah kesemua perlawanan yang diatur buat skuad hoki senior negara dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 yang mana ketua jurulatih, A Arul Selvaraj nyata berpuas hati dengan persembahan skuad negara.

10 perlawanan yang dilalui membabitkan enam perlawanan persahabatan, mereka mencatatkan satu kemenangan, empat seri dan satu tewas sementara empat perlawanan ujian tamat dengan tiga kemenangan dan satu kekalahan.

Keputusan itu menyaksikan matlamat utama untuk memperbaiki kedudukan ranking tercapai apabila berjaya melonjak kedudukan dari ranking ke-11 ke kedudukan ke-10 ketika ini.

Kata Arul ia satu keputusan yang memberangsangkan apabila skuad terutama ketika berdepan perlawanan menentang pasukan kebangsaan antarabangsa.

"Secara keseluruhan, bertemu dengan pasukan kebangsaan antarabangsa, dalam perlawanan ujian, kami menang tiga perlawanan dan tewas satu selain dua perlawanan persahabatan menentang Perancis kami seri kedua-dua perlawanan.

"Dapat juga dilihat peningkatan pemain dari segi rasa tanggungjawab dan kesedaran mengenai cara menjaga diri termasuk cara makan dan gaya hidup sebagai atlet.

"Hari ini adalah hari ke 29 kami berada di luar negara dan tiada pemain yang mempamerkan rasa rindu. Ini satu petanda yang baik kerana ia menggambarkan pemain gembira bermain bersama dan tinggal bersama.

"Pesanan kami kepada para pemain adalah untuk menikmati saat-saat seperti ini kerana kenangan ini tidak akan berulang kembali," jelasnya.

Terdahulu Malaysia Tigers turun bertemu Pasukan Perancis untuk aksi terakhir mereka di Siri Jelajah United Kingdom dan Malaysia mengikat Perancis dengan keputusan seri 2-2 hasil jaringan gerakan padang, Shello Silverius serta gol pukulan sudut penalti, Faizal Saari.

Mengulas mengenai aksi hari ini, Arul berkata: "Untuk perlawanan hari ini, kami memulakan suku pertama dan kedua dengan begitu yakin tetapi selepas rehat suku ketiga permainan agak sederhana dan membolehkan pasukan Perancis menjaringkan dua gol tetapi kami bangkit semula.

"Sedikit kekurangan hari ini adalah bahagian penyudahan kami. Kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol di mana di suku pertama kami memiliki lima peluang menjaringkan gol tetapi kami tidak menyudahkan kelebihan itu.

"Kami perlu meningkatkan lagi kemahuan di dalam kawasan gol lawan dan lebih agresif untuk menjaringkan gol.

"Pesanan akhir saya, teruskan sokongan kepada kami dan kami akan terus bekerja keras selain ini adalah penanda aras untuk kami bagi menaikkan lagi mutu permainan, kecergasan serta kualiti permainan hoki kami," tambahnya lagi.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 6:38pm
d