Hoki

Demi THT, Roslan tolak lamaran kelab lain

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali baharu Pasukan Hoki Terengganu (THT), Roslan Jamaluddin mendedahkan dia terpaksa menolak secara baik tawaran daripada pasukan lain kerana begitu teruja untuk membimbing skuad dari Pantai Timur itu musim ini.

Bekas jurulatih penjaga gol skuad wanita kebangsaan itu berkata, pengalaman menjadi penolong jurulatih skuad The Turtles itu pada 2019 bawah kendalian ketua jurulatih, I Vikneswaran mendorongnya memilih THT sebagai destinasinya musim ini.

Penjaga gol berpengalaman skuad kebangsaan kelahiran Perak berusia 44 tahun itu menjelaskan kesungguhan pihak pengurusan THT memikatnya juga antara faktor beliau memilih untuk membimbing skuad itu.

"Saya pernah bersama THT sebagai penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol tiga tahun lalu, situasi itu membuatkan saya teruja untuk kembali membimbing skuad THT sekali lagi musim ini.

"Lagipun saya sudah selesa dengan pemain-pemain skuad itu yang sebahagian besarnya adalah bekas pemain musim lalu.

"Tambahan pula skuad THT ini bukannya calang-calang pasukan dengan dibarisi pemain terbaik negara selain pengurusan persatuan yang baik dan teratur sekali gus menarik minat saya melatih skuad ini," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya sasarannya bersama skuad itu, Roslan yang melakukan sebanyak 253 penampilan bersama skuad kebangsaan bermula 1998 hingga 2015 tekad untuk membantu THT mengekalkan kejuaraan Piala TNB selain mengintai peluang menjulang Piala Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala Sumbangsih.

"Saya akui bukan mudah untuk merangkul tiga kejuaraan itu ditambah pasukan lain juga sudah pasti mengidam perkara yang sama, jadi saya akan mengambil pendekatan satu perlawanan ke satu perlawanan untuk proses ini dengan mempersiapkan pemain pada tahap kecergasan tinggi dan keserasian secepat mungkin begitu penting kerana persediaan menjelang saingan tidak begitu lama.

"Dengan kekuatan yang ada dalam kalangan pemain sedia ada selain penambahan beberapa lagi pemain baharu, saya yakin dan percaya THT mampu mencipta kejayaan yang lebih baik," katanya yang dibantu dua penolong jurulatih, Mohd Rafhan Harun dan Asrul Hisyam Ahmad.

Selain pemain adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari, skuad THT juga turut diperkuatkan pemain muda meningkat naik, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Syarman Mat Tee dan Muhammad Abib Sufian Mat Ruslee.

Disiarkan pada: February 2, 2022 @ 1:05pm
d